Wira tak didendang hero di luar gelanggang Sukan Sea Kuala Lumpur


Diyana Ibrahim

Ketika atlet di padang, gelanggang dan arena menyumbang pingat kebanggaan negara, para 'sukarelawan hijau' ini sebaliknya sibuk di lapangan sendiri di luar Stadium Bukit Jalil menyumbang kepada kesejahteraan alam yang lebih berpanjangan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 31 Ogos, 2017.

ATLET Malaysia yang merangkul 145 pingat emas, 92 perak dan 86 gangsa pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur yang berakhir malam tadi dijulang sebagai wira negara, namun di sebalik sorak sorai itu ada sekumpulan wira tidak didendang yang membantu kelancaran pesta sukan 12 hari itu.

Ketika atlet di padang, gelanggang dan arena menyumbang pingat kebanggaan negara, mereka sebaliknya sibuk di lapangan sendiri di luar stadium menyumbang kepada kesejahteraan alam yang lebih berpanjangan.

“Tolong asingkan sampah ikut label, tong biru untuk plastik botol air mineral, jingga untuk kertas dan botol kaca,” kata Puteri Nabila Umi, seorang sukarelawan Sukan Sea kepada pengunjung di luar Stadium Bukit Jalil.

Kepada hampir setiap orang yang membuang sampah di tong sampah yang disediakan oleh pihak pengurusan tapak sukan itu, mahasiswa Universiti Putra Malaysia (UPM) ini memberikan penerangan tentang kitar semula.

“Ramai yang ingat tugas kita untuk kutip sampah, sebenarnya tidak. Kita lebih kepada mendidik orang awam bagaimana untuk buang sampah ikut label yang betul, mana sampah yang boleh dikitar semula, mana yang tidak,” katanya ketika kepada The Malaysian Insight ketika ditemui pada hari penutup Sukan Sea.

Meski terpaksa berdepan dengan pelbagai ragam namun mahasiswa jurusan Sains dan Teknologi dan Alam Sekitar itu mengaku gembira dapat menyumbang bakti kepada negara, dengan caranya sendiri.

“Orang kita macam-macam perangai. Ada yang hendak dengar penerangan, ada yang main-main dan menyakat, tapi saya rasa gembira sangat dapat buat sesuatu dalam Sukan Sea ini.

“Kalau kawasan ini bersih, tak ada sampah bertaburan, imej Malaysia terjaga,” katanya.

Puteri Nabila merupakan antara 780 mahasiswa dari pelbagai universiti awam dan swasta yang menyertai ‘Sukarelawan Hijau’ sepanjang temasya Sukan Sea berlangsung.

Salah seorang 'Sukarelawan Hijau' Farah Syamila, 23 mengutip sampah dan mengasingkannya ke dalam tong yang berasingan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 31 Ogos, 2017.

Dengan seragam baju-T hijau berkolar dan seluar sukan hitam, sukarelawan ini boleh dilihat di setiap penjuru berhampiran tong kitar semula di sekitar Stadium Bukit Jalil.

Malah adakalanya pasukan ‘sukarelawan hijau’ ini akan kelihatan berjalan di Kompleks Sukan Bukit Jalil itu dengan memegang plakad tertera ayat “asingkan sampah mengikut label tong” sambil di tangan masing-masing membawa plastik sampah.

Bagi Aminuddin Mohd Shafie, seorang lagi mahasiswa UPM, yang pertama kali menjadi sukarelawan dalam acara sebesar Sukan Sea, peluang ini datang sekali seumur hidup.

“Saya sangat gembira dan teruja sebab dapat menjadi sebahagian daripada Sukan Sea. Kita jadi tuan rumah pun selepas 16 tahun sebab itu saya tawar diri sebagai sukarelawan, kita tak tahu bila lagi selepas ini.

“Bagi saya jadi sukarelawan ini bagus sebab dapat banyak pendedahan,” katanya, yang mengaku akan terus menawarkan diri jadi sukarelawan lagi.

Bagi dua pelajar Universiti Kolej Tunku Abdul Rahman (UTAR), Cheong Sai Jin dan Chan Gian Hui, mereka sanggup berulang-alik naik MRT dari Sungai Buloh ke Stadium Bukit Jalil setiap hari demi menjalankan tugas sebagai sukarelawan hijau.

“Ya, kita naik pengangkutan awam, dari Sungai Buloh sebab program ini tentang kesedaran alam sekitar, jadi memang kita digalakkan untuk naik pengangkutan awam saja,” kata mereka.

Ketika atlet di padang, gelanggang dan arena menyumbang pingat kebanggaan negara, para 'sukarelawan hijau' ini sebaliknya sibuk di lapangan sendiri di luar Stadium Bukit Jalil menyumbang kepada kesejahteraan alam yang lebih berpanjangan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 31 Ogos, 2017.

Selain gembira dengan sambutan dan sokongan orang ramai, mereka juga nekad akan meneruskan kerja sukarelawan terutama melibatkan pemuliharaan alam sekitar selepas ini.

“Pertama kali jadi sukarelawan, perasaan memang sangat seronok. Ini pengalaman baru. Walaupun penat tapi kami sangat gembira buat kerja begini.

“Dan paling penting, kita bukan saja dapat bantu masyarakat untuk bagi kesedaran mengenai kitar semula tapi  kami pun dapat ilmu juga. 

“Dulu ada banyak yang kita tak tahu pasal kitar semula, sekarang kita dah banyak tahu,” kata Cheong.

Sukarelawan hijau ini digerakkan oleh Kementerian Tenaga dan Teknologi Hijau dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam.

Sampah yang dikumpulkan sepanjang Sukan Sea kemudian dikitar semula menjadi baja menggunakan insinerator mini yang ditempatkan berdekatan stadium.

Selain UPM dan UTAR, sukarelawan ini datang dari Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Taylor. – 31 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen