Kerajaan India salur bantuan AS$10.5 bilion kepada petani


Beribu-ribu petani di India berdepan kesukaran ekoran harga hasil pertanian yang rendah, dihimpit masalah pembayaran semula hutang dan cuaca yang tidak menentu sejak beberapa tahun kebelakangan ini. – Gambar EPA, 1 Februari, 2019.

KERAJAAN India mengumumkan skim bantuan berjumlah AS$10.5 bilion untuk membantu golongan petani, satu usaha yang dilihat sebagai cara bagi Perdana Menteri Narendra Modi meraih sokongan menjelang pilihan raya umum tidak lama lagi.

Beribu-ribu petani di negara itu berdepan kesukaran ekoran harga hasil pertanian yang rendah, dihimpit masalah pembayaran semula hutang dan cuaca yang tidak menentu sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Skim baharu itu yang merupakan sebahagian belanjawan sementara kerajaan sebelum pilihan raya akan membantu 120 juta petani kecil dan sederhana untuk mendapat bantuan AS$85 setahun.

“Bantuan ini akan diberikan secara langsung menerusi bank akauan petani dengan tiga peringkat pembayaran,” kata menteri kewangan sementara Piyush Goyal.

Program itu akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan pusat, kata Goyal.

Krisis pertanian di India dan peningkatan jumlah pengangguran menjadi isu utama menjelang pilihan  raya yang dijadualkan berlangsung pada Mei dan Modi berusaha untuk mengekalkan kuasa buat penggal kedua.

Pada Khamis, laporan ekonomi oleh Business Standard mendedahkan bahawa kadar pengangguran yang dicatatkan di bawah kerajaan pimpinan Modi adalah paling tinggi dalam tempoh 45 tahun.

Modi dan partinya, Bharatiya Janata (BJP) mengambil alih kuasa pada pilihan raya 2014 dengan kemenangan yang besar selepas menjanjikan jutaan peluang pekerjaan. – AFP, 1 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen