FACEBOOK menutup beratus-ratus akaun dan laman yang dikaitkan dengan sebuah kumpulan Indonesia yang dituduh menyebarkan sentimen perkauman dan berita palsu.
Syarikat rangkaian laman sosial itu berkata hari ini, kumpulan siber yang dikenali sebagai Saracen itu beroperasi secara sistematik dengan menggunakan akaun palsu untuk menyalurkan maklumat tidak benar kepada pengguna lain.
Kira-kira 800 akaun , 207 laman, 546 kumpulan Facebook dan 208 akaun Instragram yang dikaitkan dengan Saracen dipadam daripada rangkaian media sosial itu.
Kira-kira 170,000 pengguna mengikuti salah satu laman Facebook kumpulan itu manakala akaun Instagramnya memiliki 65,000 pengikut.
Kumpulan Saracen mula dikenali di Indonesia sejak dua tahun lalu apabila polis mendakwa kumpulan itu sengaja menyebarkan berita palsu dalam media sosial.
Sekurang-kurangnya seorang ahli kumpulan itu dipenjarakan selepas siasatan secara besar-besaran dijalankan.
Indonesia berdepan cabaran untuk mengekang penyebaran sentimen kebencian dan kumpulan konservatif menggunakan media sosial termasuk Facebook untuk menyebarkan pembohongan dan menyasarkan kumpulan minoriti. – AFP, 1 Februari, 2019.
Komen