SEORANG pegawai polis Indonesia ditahan kerana disyaki mengambil rasuah untuk membantu seorang suspek kes dadah warga Perancis melarikan diri dari penjara.
Pegawai wanita itu yang merupakan ketua pusat tahanan polis di pulau Lombok, menerima suapan sebanyak AS$1,000 untuk membantu suspek Felix Dorfin melarikan diri kira-kira dua minggu lalu.
Pegawai tertuduh yang hanya dikenali sebagai TM, menerima wang suapan itu daripada ibu bapa Dorfin yang menggunakan perkhidmatan pemindahan wang secara dalam talian.
Gerakan memburu suspek oleh pihak polis masih diteruskan.
Usaha untuk mendapatkan komen ibu bapa suspek juga tidak berhasil.
Lelaki Perancis berusia 35 tahun itu ditahan di lapangan terbang di Bali pada September lalu selepas disyaki membawa beg berisi dadah pelbagai jenis seberat empat kilogram.
Dorfin ditahan dan menunggu perbicaraan yang berkemungkinan menyebabkan dia dijatuhi hukuman mati.
Indonesia mempunyai undang-undang yang ketat berhubung kes dadah termasuk melaksakan hukuman mati oleh skuad penembak kepada mereka yang didapati menyeludup dadah. – AFP, 1 Februari, 2019.
Komen