Kaji dahulu, elak hilang hak jadi tuan rumah acara sukan, kata pegawai sukan


Alfian Z.M. Tahir

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bertegas untuk menyatakan pendirian Malaysia berhubung atlet Israel, Malaysia tidak mempunyai apa-apa hubungan diplomatik dengan Israel. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Februari, 2019.

SEORANG pegawai sukan berkata Malaysia sepatutnya melakukan “kerja rumah” mengenai negara-negara peserta dalam acara sukan antarabangsa yang tidak lagi mempunyai hak untuk menjadi tuan rumah selepas mengharamkan atlet Israel.

Setiausaha Persatuan Olahraga Wilayah Persekutuan (FTAA) S. Vegiyathuman,  bersetuju bahawa Malaysia tidak harus mengubah pendiriannya terhadap Israel, namun berkata bahawa kerajaan sepatutnya memang maklum bahawa acara antarabangsa pasti akan menarik minat atlet Israel.

“Mereka sepatutnya melakukan kerja rumah terlebih dahulu. Sudah tentu, jika kita sudah tahu kita tidak benarkan warga Israel masuk, maka sepatutnya mereka tahu lebih dahulu.”

“Mereka perlu lakukan kerja rumah mereka bagi mengelakkan malu di masa hadapan,” katanya.

Ahli-ahli akademik, bagaimanapun, mengatakan bahawa dilucutkan hak untuk menjadi tuan rumah Kejohanan Renang Dunia Para Dunia 2019 adalah pengorbanan kecil bagi perjuangan Palestin.

Pakar kajian keamanan dan konflik Dr Kamarulzaman Askandar berkata adalah penting bagi Malaysia untuk berpegang pada prinsipnya.

“Kita perlu menjelaskan prinsip-prinsip kita supaya masalah yang dihadapi oleh rakyat Palestin juga akan didengar, kita perlu mengetengahkan (isu ini),” katanya ketika ditanya sama ada keputusan Malaysia untuk mengharamkan atlet Israel daripada memasuki negara itu akan menjejaskan masa depan peluang untuk menganjurkan lebih banyak acara.

“Sekiranya kita kehilangan hak untuk menjadi tuan rumah di masa depan, saya fikir ia hanya sebuah pengorbanan kecil,” kata Kamarulzaman dari Pusat Pengajian Sains Sosial dan Hubungan Antarabangsa di Universiti Sains Malaysia.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini berkata Malaysia tidak akan membenarkan atlet Israel mengambil bahagian dalam Kejohanan Renang Dunia Para Dunia 2019 yang akan diadakan di Kuching.

Dr Mahathir turut berkata Israel, sebagai sebuah negara yang tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan  Malaysia kerana isu Palestin, adalah sebuah negara penjenayah.

Berikutan itu, Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) kemudian melucutkan hak menjadi tuan rumah bagi Malaysia yang sebelum ini dijadualkan pada 29 Julai hingga 4 Ogos di Kuching.

Menurut IPC, keputusan itu diambil semasa mesyuarat Lembaga Pengarahnya di London selepas Kementerian Dalam Negeri Malaysia gagal memberi jaminan yang diperlukan bahawa perenang Israel boleh mengambil bahagian dalam kejohanan dengan selamat dan tanpa diskriminasi.

Profesor akademik yang juga merupakan dekan Fakulti Undang-undang, Kerajaan dan Kajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia Ahmad Marthada Mohamed berkata Malaysia bukanlah negara pertama yang menyatakan ketidakpuasannya dengan Israel.

“Malaysia bukan negara pertama yang menunjukkan rasa tidak puas hati. Orang Ireland telah menunjukkannya beberapa dekad yang lalu dan bahkan di parlimen mereka wujud perdebatan mengenai perlakuan Israel yang mengerikan terhadap rakyat Palestin.

“Di Britain juga ada perdebatan mengenai isu ini dan saya fikir negara lain harus menghormati keputusan kita. Kita perlu menjelaskan bahawa kita bukan anti-Yahudi tetapi kita anti-Zionis.

“Saya tidak fikir kita akan kehilangan hak (menjadi tuan rumah) pada masa akan datang kerana terdapat banyak negara lain yang menyatakan rasa tidak puas hati mereka sebelum ini dan mereka masih boleh menjadi tuan rumah acara antarabangsa,” kata Ahmad Marthada. – 1 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen