IBU bapa kepada pelajar matrikulasi menuntut kerajaan menyegerakan bayaran elaun untuk bulan Januari yang masih tertunggak.
Seorang ibu kepada pelajar Kolej Matrikulasi Kedah berkata beliau amat kecewa kerana kelewatan elaun tersebut membebankan anaknya.
“Kalau elaun itu seharusnya kena bagi 10 haribulan sebab mereka nak bajet untuk makan. Di matrikulasi bukan pelajar senang, ramai daripada keluarga susah,” katanya.
Beliau yang mahu dikenali dengan nama Fatimah berkata, kali terakhir bayaran diterima anaknya adalah pada akhir November.
“Elaun selalu masuk tak konsisten. Bila anak dah tiada duit kita yang tiada pendapatan tetap ini juga perlu usahakan pelbagai cara.
“Takkan nak biarkan anak kebulur,” kata suri rumah berusia 45 tahun itu ketika dihubungi The Malaysian Insight.
Pentadbiran Kolej Matrikulasi Kedah ketika dihubungi enggan memberi kenyataan.
Bagaimanapun, satu sumber dalam kolej berkenaan memberitahu The Malaysian Insight, bayaran elaun berkenaan tertangguh kerana peruntukannya baru saja diluluskan.
“Kita tak dapat bagi elaun sebab peruntukan baru diluluskan. Jadi untuk Januari lambat sedikit.

“Sekarang dah dapat (peruntukan), maka ia dalam proses untuk disampaikan kepada pelajar melalui Bank Rakyat,” kata sumber yang enggan dinamakan.
Kolej Matrikulasi Perlis turut didakwa masih lagi belum membayar elaun kepada pelajar yang berjumlah RM250 sebulan.
Sharifah Azlin, 43, ibu kepada seorang pelajar jurusan sains kolej itu berkata kelewatan tersebut memberi kesan kepada dirinya yang masih menanggung persekolahan anak lain.
“Elaun sepatutnya ringankan pelajar. Bila lewat susah juga sebab sebagai keluarga yang mempunyai anak-anak masih bersekolah macam-macam hendak dibayar, lebih-lebih lagi awal tahun buka sekolah.
“RM250 itu sangat berharga,” katanya yang tinggal di Sungai Buloh, Selangor.
Tambahnya, ia turut memberi kesan kepada anaknya yang terpaksa mengikat perut kerana bergantung sepenuhnya kepada elaun tersebut.
“Macam anak saya dan kawan-kawan ada yang berpuasa gara-gara lambat bayar. Dari tahun lepas lagi kemasukan elaun tak konsisten,” katanya lagi.
Seorang lagi penjaga pelajar yang dihubungi The Malaysia berkata kerajaan seharusnya lebih cekap dan konsisten untuk memastikan keperluan pelajar disampaikan.
“Dari segi pentadbiran, institusi tu sendiri perlu di pertingkatkan lagi..sebab ia akan memperlihatkan kepincangan sistem pentadbiran itu sendiri.
“Kelewatan ini sudah pasti memberikan kesan langsung kepada kebajikan anak-anak terutama yang memang mengharapkan elaun ini,” kata Mazlinda, 38, ibu saudara kepada pelajar Kolej Matrikulasi Kejuruteraan Pahang.
The Malaysian Insight juga menghubungi pejabat Menteri Pendidikan Maszlee Malik untuk mendapatkan penjelasan.
Menurut satu sumber, pembayaran elaun pada Januari dijangka akan dibayar sebelum sambutan Tahun Baru Cina manakala untuk bulan Februari pada selepas sambutan itu.
Jadual pembayaran bulan seterusnya juga difahamkan akan dibayar seperti biasa iaitu 10 haribulan. – 1 Februari, 2019
Komen