JAWATANKUASA Bertindak Kuil Sri Maha Mariamman Seafield berharap Jabatan Peguam Negara (AGC) dapat memberi penerangan berkenaan status kuil mereka, selepas dua bulan rusuhan berhubung isu pemilikan tanah berlaku.
Mereka berkata, AGC masih belum membalas surat yang dihantar pada 7 Januari lalu mengenai perkara itu.
Menurut pengerusinya, S.W. Ramaji, mereka masih menunggu apakah langkah seterusnya yang akan diumumkan oleh Peguam Negara Tommy Thomas.
“Kami faham yang AGC sepatutnya menamakan siapakah penerima kuil dan siapakah pemegang amanah.
“Setakat ini, kami belum dengar apa-apa. Kami harap AGC akan lihat perkara ini,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.
Susulan rusuhan berlaku pada 26 dan 27 November tahun lepas ekoran pihak pengurusan kuil enggan berpindah ke tapak alternatif yang telah dipersetujui sebelum ini, AGC berkata tapak tanah seluas 0.4 hektar itu akan diserahkan kepada pemegang amanah yang dilantik oleh mahkamah.

Cadangan peguam negara itu disambut baik oleh syarikat pemaju, One City Development Sdn Bhd.
Penyelesaian yang dicadangkan Thomas itu melibatkan penyerahan tapak tanah kuil kepada pemegang amanah lantikan mahkamah tertakluk kepada syarat yang mesti dipersetujui oleh pihak yang terlibat.
Setiausaha kuil, V. K. Regu berkata, mereka telah meminta supaya satu pertemuan diadakan bersama AGC untuk mengetahui apakah rancangan seterusnya berhubung status kuil tersebut.
“AG (peguam negara) sudah buat pengumuman tetapi kami tak tahu apakah butirannya (status kuil).
“Kami perlu beritahu penganut apakah perkembangan seterusnya,” katanya.
Rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman Seafield berlaku selama dua malam selepas sekumpulan lelaki bertopeng menyerbu kuil dan menakutkan penganut.
Keganasan yang tercetus merosakkan harta benda dan kenderaan sehingga mengakibatkan seorang anggota bomba terbunuh.
Setakat ini 24 individu telah didakwa. – 1 Februari, 2019.
Komen