BN-PAS mampu menang PRU15 jika bergabung, kata penganalisis


SM Amin

Pemangku presiden Umno Mohamad Hasan dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang turut serta pada program ceramah perdana BN pada PRK Cameron Highlands baru-baru ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Februari, 2019.

UMNO yakin gabungan usahanya dengan PAS akan membolehkan kedua-dua parti majoriti Melayu itu merampas semula sekurang-kurangnya 30 kerusi Parlimen dalam PRU15.

Keyakinan itu berdasarkan hasil kerjasama dalam PRK Cameron Highlands yang memastikan 40% pengundi Melayu mengundi untuk mengekalkan Barisan Nasional (BN) di kerusi itu Sabtu lalu.

Keyakinan itu dikuatkan lagi dengan pandangan penganalisis yang melihat undi protes ke atas BN pada 9 Mei lalu mungkin akan kembali kepada parti itu.

Bagaimanapun, kerjasama itu masih tertumpu kepada isu tertentu sahaja setakat ini dan belum sampai ke peringkat gabungan pembangkang, kata Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki,

“Kita bergerak, bekerja bersama dalam isu yang menyentuh kepentingan rakyat. Dalam PRK Cameron Highlands jentera kedua-dua parti beriringan berkempen ke rumah-rumah, berceramah dan akan diteruskan di PRK Semenyih nanti.

“Masing-masing mula menyedari hakikat keperluan untuk bekerjasama. Sekarang ini baharu peringkat untuk kita memupuk kesefahaman yang sama,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata kerjasama Umno dan PAS masih tertumpu kepada isu tertentu sahaja setakat ini dan belum sampai ke peringkat gabungan pembangkang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Februari, 2019.

Dalam PRK tersebut, calon BN Ramli Mohd Nor menang dengan majoriti lebih besar, 3,238 undi berbanding 597 undi semasa PRU14, yang turut disumbangkan daripada lebih 3,000 pengundi PAS.

Kesungguhan PAS dan Umno untuk bekerjasama itu juga ditunjukkan melalui penubuhan jawatankuasa bersama bagi mencari titik persamaan kedua-dua parti itu.

“Kita ingin memastikan wujud kebersamaan itu di peringkat bawahan dan bukannya sekadar di peringkat pimpinan atas. Kita masih dalam proses,” kata Asyraf.

Padah bertanding tiga penjuru

Dalam PRU14 lalu, Umno merancang untuk mendapat majoriti besar di Dewan Rakyat dengan bekerjasama PAS, mewujudkan pertandingan tiga penjuru menentang Pakatan Harapan (PH).

BN pada waktu itu berharap, pengundi PH dan PAS berpecah dua namun rancangan itu menemui kegagalan dan BN hilang penguasaan ke atas kerajaan persekutuan buat pertama kali dalam sejarah.

BN hanya memenangi 32 kerusi Parlimen daripada 77 kerusi yang melibatkan pertandingan tiga penjuru, PAS 23 kerusi dan PH menang 22 kerusi.

Namun secara keseluruhannya, Umno menang 54 kerusi dan PAS 18 kerusi, menjadikan jumlah keseluruhannya 71 ahli Parlimen.

Badan kajian Ilham Centre bagaimanapun menjangka, sekiranya gabungan kerjasama itu menjadi kenyataan, BN-PAS akan dapat merampas semula 30 kerusi yang dimenangi dengan majoriti kecil oleh PH.

Malah jika PAS dan BN benar-benar bergabung semasa PRU14, PH tidak akan menang sama sekali, kata Pengarah Eksekutif Ilham Centre Mohd Azlan Zainal.

Katanya, PH tidak boleh terlalu selesa dengan undi yang diperoleh dalam PRU14 kerana undi tersebut termasuk undi protes daripada penyokong Umno.

Beliau berkata jika gabungan itu berlaku, kemenangan PH di 113 kerusi Parlimen akan bertukar menjadi hanya kemenangan di 84 kerusi Parlimen saja.

Undi protes

“Kemenangan BN di 79 kerusi Parlimen pula akan bertukar menjadi kemenangan gabungan BN-PAS di 126 kerusi Parlimen jika PAS-BN betul-betul bergabung dan bertanding satu lawan satu dalam PRU14 lalu,” katanya.

Katanya, undi yang diperoleh PH “tidak tinggi mana” kerana kemenangan itu disumbangkan kira-kira 11% undi protes.

“Dalam undi yang diperoleh oleh PH sendiri pun banyak undi protes daripada penyokong Umno itu sendiri. Undi PH ini sebenarnya tidak tinggi pun.

“Secara purata keseluruhannya, lebih kurang dalam 11% undi protes. Kalau berubah undi 11% ini PH akan tumbang,” katanya.

Azlan berkata penolakan kuat terhadap BN semasa PRU14 berpunca daripada isu berkaitan Najib Razak dan bukannya penerimaan PH sebagai kerajaan.

Ini memandangkan penyokong parti peringkat akar umbi dan juga golongan muda masih setia pada Umno, katanya yang melihat sikap itu ditunjukkan pengundi dalam PRK Cameron Highlands minggu lalu.

“Mereka ubah undi tetapi tidak mengubah parti. Kalau kita tengok sekarang ini, pimpinan atasan saja yang keluar menjadi bebas atau menyertai PH tetapi ahli akar umbi di bawah tidak ikut dan masih setia kepada Umno.

“Anak muda begitu juga sekarang. Masa undi PH dulu katanya hendak mansuh PTPTN, kos sara hidup turun dengan macam-macam janji lain tetapi selepas sembilan bulan mereka tidak nampak fakta dan angka.

“Sokongan kumpulan ini pastinya berubah dan sudah nampak dalam PRK Cameron Highlands,” katanya.

Golongan muda masih setia pada Umno dan ini ditunjukkan pengundi dalam PRK Cameron Highlands minggu lalu.– Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Februari, 2019

Kerusi majoriti kecil

Antara kerusi PH yang dilihatnya berpotensi untuk tumbang adalah Kubang Pasu, Pokok Sena, Sungai Petani dan Kulim Bandar Baharu di Kedah.

Di Perak, antara kerusi yang mungkin tumbang adalah Parit Buntar, Tambun, Lumut dan Tanjong Malim.

Di Pahang, antara kerusi yang jadi perhatiannya adalah Raub, Indera Mahkota, Kuantan dan Temerloh.

Begitu juga kerusi Kuala Selangor dan Kapar di Selangor, Titiwangsa di Kuala Lumpur, Kuala Pilah di Negeri Sembilan serta, Sri Gading dan Tanjung Piai di Johor serta Putatan di Sabah.

Kesemua kerusi ini mempunyai jumlah gabungan undi PAS dan BN yang lebih tinggi berbanding jumlah undi daripada penyokong PH.

Sekiranya berjaya merampas semula 30 kerusi ini, Umno dan BN akan berjaya mendapat majoriti mudah di Dewan Rakyat dengan tambahan beberapa kerusi dari parti MIC dan MCA.

Selain gabungan undi ini juga, terdapat 16 lagi kerusi di kawasan majoriti Melayu yang dimenangi PH dengan majoriti kecil dalam PRU14.

Bagaimanapun, Azlan berkata perubahan undi ini bukan semudah memindahkan angka semata-mata kerana melibatkan banyak pertimbangan seperti pengiraan pengundi dan demografi yang berbeza. – 1 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen