EKONOMI Itali menguncup dalam suku keempat 2018, membawa negara itu kepada kemelesetan teknikal, menurut data rasmi hari ini.
Penguncupan 0.2% - susulan kejatuhan 0.1% pada suku ketiga – akan memberi tekanan terhadap kerajaan populis dalam ekonomi ketiga terbesar di zon euro itu, yang mula memegang kuasa pada Jun dengan memberikan janji pilihan raya.
Perdana Menteri Itali Giuseppe Conte menjangkakan berita buruk itu semalam pada satu persidangan perniagaan di Milan.
“Penganalisis memberitahu kami mungkin mengalami sedikit kesukaran pada permulaan tahun ini,” katanya, menuding jari kepada kelembapan di China dan Jerman yang menjejaskan eksport Itali.
“Tetapi semua elemen ada untuk pulih pada separuh kedua,” kata Conte.
Kerajaan campuran Five Star Movement (M5S) dan parti League terpaksa melupakan saja bajet mahal dan bercita-cita tinggi mereka pada Disember bagi mengelak dikenakan hukuman oleh Suruhanjaya Eropah dan pasaran kewangan.
Kelembapan itu akan menyukarkan lagi untuk kedua-dua parti menunaikan janji pilihan raya kepada pengundi, termasuk perubahan sistem pencen dan sokongan pendapatan untuk golongan miskin.
Data hari ini menunjukkan pencapaian sektor industri semakin teruk, dan tiada sumbangan daripada sektor pertanian, menurut institut statistik negara Istat.
Institut itu sebelum ini mendedahkan kadar pengangguran pada Disember, iaitu jatuh kepada 10.3% daripada 10.5%, satu tanda positif. Jumlah penganggur naik 0.1% untuk golongan belia berumur 15 hingga 24, namun membawa kadar 31.9%. – AFP, 31 Januari, 2019.
Komen