SEPASUKAN penyelidik dari China, Amerika dan Kanada menemui ambar yang mengandungi sebelah kaki burung berusia kira-kira 100 juta tahun, lapor agensi berita China Xinhua.
Spesimen itu digali di Lembah Hukawng di utara Myanmar, sebuah kawasan yang kaya dengan penemuan fosil ambar.
Hasil penyelidikan itu telah diterbitkan oleh jurnal Laporan Saintifik pada Rabu.
“Kaki burung itu berukuran tidak melebihi tujuh millimeter panjang dan terpelihara dengan baik,” kata Bai Ming dari Institut Zoologi di bawah Akademi Sains China, yang juga pengarang bersama kertas kerja berkaitan penyelidikan itu.
“Ini membolehkan penyelidik membina model tiga dimensi berdefinisi tinggi kaki itu menerusi tomografi berkomputer (CT),” kata Bai.
Para penyelidik turut mendapati ada kesan tulang patah pada model itu, yang mencadangkan bahawa kaki burung tersebut telah patah sebelum ia dibungkus dalam resin yang kemudian terbentuk menjadi ambar, kata Xing Lida, seorang saintis yang mengetuai kajian itu dari Universiti Geosains China di Beijing.
“Kaki burung itu mungkin ditinggalkan oleh pemangsa atau pebangkai,” kata Xing. – Bernama, 31 Januari, 2019.
Komen