Saya tak sayangkan ayah, kata anak lelaki Altantuya


Bede Hong

Keluarga Altantuya Shaariibu termasuk ayah dan emaknya serta dua anaknya memfailkan saman sivil RM100 juta kepada empat responden. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Januari, 2019.

ANAK mangsa bunuh kejam warga Mongolia Altantuya Shaariibu dalam keterangan saman sivil RM100 juta keluarganya berkata beliau tidak pernah ada hubungan bermakna dengan ayahnya, bintang hip hop Mongolia Madai.

Bayarkhuu Bayarjagal, 21, juga menafikan cadangan peguam pembelaan bahawa beliau menerima bantuan daripada ayahnya selepas pembunuhan ibunya pada 2006.

Ketika disoal balas di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini, Bayarkhuu, atau nama lahirnya Mungushagai, tidak bersetuju dengan cadangan yang beliau menukar nama lahirnya untuk mengikut jejak ayahnya, Madai atau nama sebenarnya Bayarjagal Bayasgalan.

“Saya katakan yang awak menggunakan nama Bayarkhuu kerana awak bangga dengan ayah awak, seorang penyanyi rap Mongolia terkenal,” kata Manjeet Singh Dhillion, peguam kepada Abdul Razak Baginda, salah seorang responden dalam saman sivil itu.

“Saya tak setuju. Bayar adalah nama popular di Mongolia, ia hanya nama yang popular. Ia tak bermakna saya sayangkan ayah saya,” kata Bayarkhuu, menambah yang Bayarjagal tidak pernah memberikan sebarang wang sara hidup untuknya.

Bayarkhuu sebelum itu memberitahu yang nama “Bayar” hanyalah bermaksud keseronokan dan tidak ada makna lain. Katanya, nama itu dipilih dengan bantuan datuknya Shaariibuu Setev.

Shaariibuu, isterinya Altansetseg Sanjaa, Bayarkhuu dan seorang lagi anak lelaki Altantuya, Altanshagai Munkhtulga memfailkan saman sivil itu pada 2007 menuntut ganti rugi dan bayaran pergantungan.

Altanshagai yang menderita penyakit palsi serebrum, bagaimanapun, meninggal dunia ketika berusia 15 tahun pada 2015.

Bayarkhuu juga memberitahu mahkamah yang beliau menukar nama kerana tidak mahu jadi tumpuan ramai selepas pembunuhan ibunya. – 31 Januari, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen