Jumlah pelancong China turun walau tiba musim puncak


Khoo Gek San

Suasana menjelang sambutan Tahun Baru Cina di sebuah pusat membeli-belah di Kuala Lumpur. Malaysia menjadi tumpuan pelancong China untuk menghabiskan cuti perayaan mereka. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Sulkefli, 31 Januari, 2019.

PELANCONG China menjauhi Malaysia kerana pelbagai faktor, daripada perubahan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) hinggalah kepada kekurangan promosi pelancongan, terutama semasa cuti Tahun Baru Cina.

Agensi pelancongan tempatan yang mengendali pelancong China mengeluh mengatakan mereka menyaksikan penurunan tempahan sebanyak 15%.

Tempahan diterima agensi pelancongan berkurangan antara 8% hingga 15% tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun lepas, kata pihak dalam industri memberitahu The Malaysian Insight.

Antara sebabnya, termasuk komen yang “sensitif” terhadap China selepas perubahan kerajaan pada pilihan raya umum lalu, visa perjalanan, kekurangan promosi di China dan ekonomi negara yang lembab disebabkan perang perdagangan antara China dan Amerika Syarikat (AS).

Tahun lepas, kira-kira 2 juta pelancong China melawat Malaysia, iaitu 37.2% lebih berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Tetapi selepas PRU14, pertumbuhan perlahan dan ketibaan pelancong China tidak sampai kepada 3 juta pengunjung sebagaimana disasarkan.

Setakat ini, hanya 72 negara membenarkan perjalanan tanpa visa kepada warga China, termasuk Thailand yang baru-baru ini mengumumkan kempen pelancongan musim bunga, dengan pelancong dari kedua-dua negara melawat satu sama lain semasa tempoh perayaan.

Ini menjadikan Thailand destinasi utama pelancong China, diikuti Jepun, Indonesia, Singapura, Vietnam dan Malaysia.

Bagaimanapun, Malaysia kekal sebagai satu daripada destinasi pilihan utama pelancong China, kata Naib Presiden Persatuan Pelancong Dalam Negeri Malaysia Mint Leong.

Leong memberitahu The Malaysian Insight, trend pelancong muda China tanpa tempahan pakej pelancongan semakin meningkat. Ia menyebabkan hanya sedikit pelancong China yang membuat tempahan.

Secara keseluruhannya, jumlah pelancong menurun, tetapi Malaysia kekal sebagai destinasi, katanya, dengan China menganggarkan rakyatnya melawat Malaysia semasa perayaan Tahun Baru Cina meningkat sebanyak 32%.

Leong berkata tempahan pake pelancongan yang berkurangan mungkin disebabkan beberapa faktor, seperti Thailand yang menawarkan kemasukan tanpa visa perjalanan untuk warga China, dan peningkatan persaingan daripada beberapa negara Asia Tenggara seperti Vietnam, Myanmar, Filipina dan Indonesia.

Tempoh penerbangan yang singkat ke Asia Tenggara dari China dan menjadi saingan bagi negara-negara di rantau ini untuk berkongsi ketibaan pelancong China.

“Menurut statistik dari beberapa pintu keluar di China, Thailand merupakan pilihan utama bagi pelancong China kerana mereka memerlukan visa untuk ke Malaysia. Selain visa, harga percutian bagi tiket penerbangan di China dan yuran kumpulan juga naik.”

Thailand menjadi tumpuan pelancong dari China kerana tidak mengenakan visa perjalanan sempena kempen pelancongan musim bunga. – Gambar AFP, 31 Januari, 2019.

Leong berkata pelancong dari Heilongjiang, wilayah utara China, Beijing dan beberapa bandar China utara lain memilih Malaysia sebagai destinasi Tahun Baru Cina kerana cuaca di China ketika itu sejuk dan budaya Cina di Malaysia masih kukuh.

Bagaimanapun katanya, kenyataan sensitif daripada pemimpin kerajaan dalam beberapa minggu pertama selepas perubahan kerajaan pada tahun lalu menjejaskan imej Malaysia di kalangan pelancong China.

“Sudah pasti ada kesan. Kita dapat melihatnya di Weibo dan platform media sosial lain di China, tetapi kesannya kecil.

“Terdapat juga promosi tidak mencukupi di China yang membolehkan negara lain yang bersaing mengejarnya,” katanya.

Menurut portal pelancongan Kuaibaom, dari 31 Disember 2018 hingga musim bunga tahun ini, destinasi pelancongan utama bagi pelancong China ialah Thailand, Jepun, Singapura, Malaysia, Amerika Syarikat, Australia, Filipina, Kanada, Vietnam dan England.

Presiden Persatuan Pelancongan Cina Albert Tan berkata, menurut ahli-ahlinya, banyak penerbangan dicater yang popular di kalangan pelancong China dihentikan tahun ini disebabkan penurunan ketibaan.

“Semasa musim puncak pada masa lalu, terdapat 10 penerbangan dari China ke Malaysia sehari, tidak cukup pakej pelancongan, hotel, pemandu pelancong dan bas pelancongan atau kereta untuk menampung bilangan pelancong China ketika itu.

“Bagi penerbangan yang dicater, kebanyakan mereka ke Kota Kinabalu kerana pelancong China sukakan suasana pantai.

“Perang perdagangan AS-China menyebabkan kelembapan ekonomi di China dan negara lain yang menyediakan perjalanan tanpa visa menyebabkan pasaran perlahan sejak lapan bulan lalu.”

“Para pemain industri berpendapat ini adalah perkara biasa dan hanya mahu kerajaan terus mempromosikan pelancongan Malaysia dan memberi tumpuan kepada pelancong China. Kami juga berharap Menteri Pengangkutan Anthony Loke dapat mengatur lebih banyak penerbangan langsung ke China dan Malaysia semasa lawatannya ke sana,” katanya.

“Tahun ini, tempahan pakej pelancongan berkurang sebanyak 8% hingga 10%. Setakat ini jika agensi pelancongan biasanya mendapat 200 tempahan, akan kekurangan 20 lagi bagi tahun ini. Ini melibatkan ramai pelancong tetapi dengan penurunan tempahan untuk melawat dan bas pelancongan, ia juga tidak begitu tertekan seperti tahun sebelumnya.” – 31 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen