Perjuangan kebebasan Venezuela bermula, kata Trump


Protes besar-besaran berlaku di Venezuela menuntut Presiden Nicolas Maduro berundur. – Gambar AFP, 31 Januari, 2019.

PRESIDEN Donald Trump semalam kembali mengulangi sokongan AS kepada pembangkang Venezuela dan berkata bantahan mendesak pengunduran Presiden Nicolas Maduro adalah perjuangan menuntut kebebasan.

“Protes besar-besaran seluruh Venezuela hari ini menentang Maduro. Perjuangan kebebasan sudah bermula,” tweet Trump.

Trump sebelum itu berkata beliau sudah bercakap menerusi telefon dengan pemangku presiden isytihar sendiri Juan Guaido, yang diiktiraf Washington, untuk menegaskan “sokongan kuat Amerika Syarikat kepada perjuangan Venezuela mendapatkan semula demokrasi.”

Washington memberikan sokongan sepenuhnya kepada tuntutan Guaido untuk menerajui Venezuela, tetapi Maduro yang berkuasa ke atas tentera dan polis berkeras untuk terus berkuasa, mendakwa Guaido adalah sebahagian rancangan rampasan kuasa didalangi AS.

Mahkamah pro kerajaan sudah mengharamkan Guaido yang menggesa protes besar-besaran anti Maduro minggu ini, daripada meninggalkan negara itu.

Semalam, rakyat mula turun ke jalanan di ibu kota Caracas dan bandar lain, mengangkat sepanduk dan bersorak mahukan tentera dan polis menarik balik sokongan daripada Maduro.

“Jangan tembak orang yang buat tuntutan untuk ahli keluarga anda juga,” kata Guaido dalam mesej kepada tentera di sampaikan di sebuah universiti di Caracas. – AFP, 31 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen