Wartawan Iran ditahan AS pulang


Marzieh Hashemi tiba di Lapangan Terbang Imam Khomeini, Tehran dan disambut ratusan orang. – Gambar AFP, 31 Januari, 2019.

SEORANG wartawan kelahiran AS yang bekerja dengan stesyen televisyen Bahasa Inggeris di Iran, Press TV kembali ke negara Islam itu semalam selepas 10 hari dalam tahanan di AS.

Marzieh Hashemi tiba di Lapangan Terbang Imam Khomeini, Tehran dan disambut ratusan orang.

Kebanyakan yang hadir adalah wanita Iran berhijab hitam dan memegang sepanduk anti Amerika, pembesar suara juga dipasang memainkan lagu revolusi dan negara, lapor wartawan AFP yang berada di tempat kejadian.

“Selamat datang suara tertindas,” tulis satu sepanduk, dan satu lagi berbunyi “Marzieh sudah bebas, Amerika dimalukan.”

Berlepas menggunakan penerbangan Lufthansa dari Frankfurt, Hashemi turun pesawat dengan kalungan bunga di leher disambut tepuk gemuruh.

“Saya sangat rindukan Iran,” katanya.

“Sekarang bukanlah masa sesuai untuk bercakap mengapa saya ditahan, saya akan jelaskan nanti pada masa sesuai,” tambahnya.

Hashemi memeluk Islam dan menukar namanya daripada Melani Franklin, beliau ditahan sebaik tiba di Lapangan Terbang St Louis Lambert pada 13 Januari.

Hashemi dilaporkan pulang untuk bertemu abangnya yang sakit dan ahli keluarga lain.

Press TV berkata beliau dibebaskan seminggu lalu.

Beliau ditahan menggunakan “waran tangkap material” dan dibebaskan selepas memberi keterangan kepada juri agung dalam siasatan tidak dinyatakan berkaitan “pelanggaran undang-undang jenayah AS,” menurut mahkamah AS.

Masih tidak jelas sama ada bukti yang diberinya akan didedahkan.

Tokoh politik konservatif terkenal Gholami-Ali-Haddad-Adel turut berada di lapangan terbang menyambut Hashemi, menyifatkan tangkapan itu “sama seperti tindakan lain” Presiden AS Donald Trump.

“Ia adalah satu lagi contoh permusuhan 40 tahun Amerika dengan sebuah negara yang perlukan revolusi untuk dapat kemerdekaan,” katanya kepada AFP.

Pentadbiran Trump menarik diri daripada perjanjian nuklear 2015 dengan Iran tahun lepas dan mengenakan semula sekatan. – AFP, 31 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen