ARAB Saudi semalam mengumumkan berakhirkan siasatan anti rasuah berprofil tinggi yang melonjakkan harta negara lebih AS$100 bilion dan menyebabkan ratusan orang ditahan.
Operasi banteras rasuah yang dilancarkan pada 2017 itu menyaksikan ratusan putera raja, menteri dan ahli perniagaan ditahan di hotel mewah Ritz-Carlton di Riyadh, Saudi.
Ramai yang ditahan berminggu lamanya, tetapi kebanyakan mereka dibebaskan selepas menandatangani perjanjian penyelesaian dengan habuan wang.
Siasatan korupsi itu ditamatkan pada Rabu dengan kebenaran Raja Salman, menurut kenyataan dikeluarkan Agensi Media Saudi (SPA).
“Pendakwa raya awam enggan menyelesaikan kes 56 orang yang sudah mempunyai dakwaan jenayah terhadap mereka,” kata kenyataan.
Lapan orang lagi dirujuk kepada pendakwa raya selepas enggan mencapai penyelesaian.
“Penyelesaian tercapai dengan 87 orang seleps pengakuan mereka terhadap dakwaan ke atas mereka,” kata SPA.
Ketika siasatan lebih 400 bilion riyal (AS$107 bilion) dikutip kerajaan “dalam bentuk hartanah, syarikat, wang tunai dan pelbagai aset lain”.
Angka itu selaras dengan pengumuman setahun lalu oleh peguam negara, yang ketika itu berkata 56 suspek masih ditahan.
Operasi anti rasuah Saudi diketuai Putera Mahkota Putera Mohammed bin Salman dilabel pengkritik sebagai usaha pengukuhan kuasanya, tetapi pihak berkuasa bertegas ia dilakukan untuk membasmi rasuah. – AFP, 31 Januari, 2019.
Komen