KEMENTERIAN Kewangan hari ini menyalurkan RM20 juta kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk digunakan dalam kempen “Beli Barangan Malaysia” bagi menyokong produk dan perkhidmatan tempatan.
Jumlah itu diperuntukkan di bawah Bajet 2019 dan diserahkan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng kepada menteri KPDNHEP Saifuddin Nasution hari ini.
Lim berkata, langkah itu diperkenalkan Putrajaya bagi memastikan kos sara hidup terkawal dan juga inisiatif pengenalan untuk meningkatkan kuasa membeli rakyat.
“Kempen ‘Beli Barangan Malaysia’ akan menyediakan platform kepada pengeluar tempatan dan penyedia perkhidmatan bagi mendapatkan akses kepada hipermarket, kompleks membeli belah dan ekspo perdagangan agar produk tempatan dan syarikat perkhidmatan boleh dipasarkan kepada lebih ramai pengguna di seluruh negara,” katanya kepada pemberita ketika majlis penyampaian cek di Kementerian Kewangan hari ini.
Turut hadir, timbalan menteri KPDNHEP Chong Chieng Jen.
Lim berkata, berdasarkan Indeks Harga Pengguna (CPI), kadar inflasi bagi 2018 adalah pada 1% manakala pada 2017 adalah 3.7%.
“Kadar 1% adalah yang terendah dalam sembilan bulan dan ia membuktikan peningkatan harga selepas Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) diperkenal semula lebih kecil berbanding kadar semasa Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan, iaitu 2.7%.
“Kerajaan akan memastikan kadar CPI rendah dinikmati oleh rakyat dan kenaikan harga akan terkawal, terutamanya bagi barangan keperluan asas yang mana harganya meningkat lebih tinggi berbanding kadar CPI,” tambah Lim.
Tambahnya, inisiatif itu juga adalah untuk mengurangkan harga barang keperluan asas bagi meringankan beban rakyat.
“Peningkatan 11.3% dalam kutipan cukai langsung, berbanding tahun 2017, di tengah-tengah ekonomi global yang tidak menentu, akan meningkatkan keyakinan bahawa pertumbuhan ekonomi adalah menggalakkan.
“Ia juga akan kurangkan pendapatan kerajaan apabila SST menggantikan GST,” katanya. – 30 Januari, 2019
Komen