ANAK lelaki sulung Altantuya Shaariibuu, Bayarkhuu Bayarjargal memberitahu Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini yang beliau terpaksa menukar nama untuk mengelakkan diri daripada menjadi perhatian umum berhubung kematian ibunya.
“Pada 2011 atau 2012, saya tukar nama. Saya terpaksa tukar akibat pandangan serong yang saya terima selepas ibu saya, Altantuya Shaariibuu meninggal dunia,” kata Bayarkhuu dalam keterangannya.
“Selepas ibu meninggal dunia dan kerana publisiti negatif atas kematiannya, saya sering dibuli di sekolah. Selepas beberapa tahun menahan, datuk dan saya sudah berbincang dan keputusan terbaik adalah dengan menukar nama saya,” katanya.
Bayarkhuu juga menceritakan mengenai hubungannya dengan teman wanitanya yang terputus selepas keluarga gadis itu mendapat tahu yang beliau adalah anak lelaki Altantuya.
“Saya pernah jalinkan hubungan dengan seorang gadis selama tiga tahun. Datuk saya cadangkan supaya kami berkahwin. Tapi apabila keluarganya dapat tahu yang saya adalah anak Altantuya, mereka terus putuskan hubungan,” katanya.
Bayarkhuu, 21, diberi nama Mungunshagai ketika dilahirkan. Beliau baru menerima ijazah perniagaan dari National University of Mongolia.
Pada 2007, Bayarkhuu, datuknya, Shaariibuu Setev dan keluarga mereka memfailkan saman RM100 juta terhadap kerajaan Malaysia serta tiga responden lain termasuk Abdul Razak Baginda.
Bayarkhuu juga berkata beliau mendapat tahu mengenai kematian ibunya pada Oktober 2006 melalui perbualan antara datuk dengan neneknya. Ketika itu beliau berusia sembilan tahun. – 30 Januari, 2019.
Komen