BEKAS penganalisis politik, Abdul Razak Baginda yang mempunyai seorang anak perempuan berhasrat mempunyai seorang anak lelaki bersama Altantuya Shaariibuu kerana isterinya sudah berusia untuk melahirkan anak, Mahkamah Tinggi Shah Alam diberitahu hari ini.
Namiraa Gerelmaa berkata, ketika dalam sebuah bilik hotel di Kuala Lumpur pada 2006, sepupunya, Altantuya memberitahu yang Abdul Razak adalah kekasihnya.
“Dia beritahu saya, mereka bertemu di Hong Kong dan bermalam bersama. Saya juga diberitahu yang (Abdul) Razak kenalkan Altantuya kepada peguamnya dan perkenalkannya sebagai isteri Mongolianya,” kata Namiraa, sambil menambah Altantuya mendakwa Abdul Razak mahu memberi sebahagian daaripada harta dan asetnya kepada mendiang.
“Hingga pada satu tahap, hubungan mereka seperti suami dan isteri. Razak mahukan anak dari dia. Dia beritahu saya yang Razak mahukan anak kerana anak perempuannya sudah dewasa dan isterinya sudah tua. Saya boleh katakan yang mendiang sangat rapat dengannya.”
Namira ketika memberi keterangan berkata, Altantuya cuba menghubunginya “banyak kali” sebelum wanita itu ke Kuala Lumpur untuk mencari Razak.
“Razak tidak memberi maklum balas. Dia (Altantuya) juga tinggalkan banyak mesej mengenai bayarannya. Oleh kerana gagal hubunginya, Altantuya terpaksa datang ke sini untuk bertemu dengannya.”
Turut bersama Altantuya ke Malaysia ketika itu adalah rakannya, Uuriintuya Gal-Ochir.
Namira berkata: “Kami berdua bertanya kepadanya adakah kamu tidak takut terlibat dengan urusan besar?”. Dia kata tidak takut kerana hanya mahukan bayarannya.”
“Katanya, jika Razak Baginda hanya mahu pergunakannya dan membuangnya, dia tidak akan benarkan itu berlaku.”
Namira berkata, beliau tidak pernah bertemu dengan Razak Baginda secara peribadi ketika itu dan kali pertama bertemu dengannya ketika menjadi saksi kes pembunuhan itu sedekad lalu. – 30 Januari, 2019
Berita penuh di sini.
Komen