Sejumlah wang rompakan 1MDB akan dikembalikan tahun ini, kata Guan Eng


Asila Jalil

Menteri Kewangan Lim Guan Eng hari ini mengumumkan bayaran pertama wang yang dirompak daripada 1MDB akan dibuat kepada Malaysia tahun ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 30 Januari, 2019.

MALAYSIA akan menerima kembali sejumlah wang yang dirompak daripada 1Malaysia Development Berhad tahun ini, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Katanya, bayaran itu tidaklah besar jumlahnya, tetapi ia adalah perolehan kembali wang dirompak yang pertama.

“Bukan berbilion, bukanlah jumlah besar tetapi sekurang-kurangnya ia satu permulaan.

“Ini adalah berita baik. Kami berharap bayaran susulan akan dibuat lagi kepada Malaysia, di mana kita boleh dapatkan balik wang yang dirompak daripada 1MDB,” katanya kepada media hari ini.

Lim, bagaimanapun, enggan mengulas lanjut tentang bayaran itu.

Lim kemudian menggesa parti politik pembangkang untuk turut memulangkan wang yang mereka terima daripada dana pengurusan kekayaan negara itu.

Katanya, jumlah terbanyak diterima parti pembangkang adalah ratusan bilion dan sebuah lagi parti menerima RM16.5 juta. Beliau bagaimanapun tidak menamakan parti tersebut.

“Kami harap parti politik itu boleh pulangkan wang kepada kerajaan,” kata Lim.

Katanya, kerajaan akan mendapatkan semula wang yang diterima parti tersebut berdasarkan jumlah yang diterimanya.

Kerajaan juga mungkin mengambil tindakan undang-undang sekiranya parti gagal membayar balik wang tersebut kepada kerajaan, tambahnya. – 30 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen