Ratusan sekolah ditutup, jerebu landa Bangkok 


Pencemaran udara semakin buruk di Bangkok memaksa pihak berkuasa mengeluarkan perintah menutup lebih 400 buah sekolah awam. – Gambar EPA, 30 Januari, 2019

JEREBU toksik memaksa pihak berkuasa Bangkok mengeluarkan perintah yang belum pernah berlaku sebelum ini untuk menutup hampir 450 buah sekolah pada Rabu, ketika pihak berkuasa bertungkus lumus mengatasi krisis pencemaran yang mencetuskan kebimbangan.

Ibu negara Thailand diselubungi jerebu sejak beberapa minggu lalu, memaksa penduduknya menggunakan topeng muka dan mencetuskan kritikan di media sosial berikutan kerajaan negara itu lambat bertindak. 

Alasan yang diberikan berhubung isu berkenaan termasuk asap kenderaan daripada kesesakan lalu lintas, pembinaan tidak terkawal, pembakaran terbuka di ladang jagung, dan pencemaran daripada kilang yang menyebabkan asap terperangkap di bandaraya itu. 

Pihak berkuasa bertindak menjalankan pembenihan awan, menyembur air ke ruang udara untuk memerangkap pencemaran mikro dan turut meminta penduduk untuk tidak membakar colok dan kertas pada sambutan Tahun Baharu Cina. 

Langkah berkenaan mencetuskan cemuhan daripada penduduk Bangkok, manakala bekalan topeng muka turut kehabisan di kebanyakan kedai. 

Namun pada Rabu, Pentadbiran Metropolitan Bangkok meningkatkan amaran, mengarahkan semua 437 buah sekolah awam di bandaraya itu ditutup bermula waktu rehat tengah hari sehingga Jumaat, dan menetapkan kawasan 1,500 kilometer persegi  di bandaraya itu sebagai “kawasan kawalan”. 

“Situasi di Bangkok akan menjadi teruk sehingga 3 dan 4 Februari, jadi saya memutuskan untuk menutup sekolah,” kata gabenor Bangkok Aswin Kwanmuang, dan menambah, langkah itu diharap dapat mengurangkan kadar kenderaan ketika sekolah beroperasi. 

Tiga hingga empat daerah di bandaraya itu “dilanda jerebu teruk,” tambahnya. – AFP, 30 Januari, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen