Alangkah lucunya IPC


Zainal Rashid Ahmad

Dunia mahu keadilan untuk rejim Zionis Israel, tetapi negara penjenayah itu tidak pernah tunduk kepada hasrat keamanan dunia untuk Palestin. – Gambar EPA, 30 Januari, 2019.

JAWATANKUASA Paralimpik Antarabangsa (IPC) memilih untuk membatalkan hak penganjuran Malaysia sebagai tuan rumah Kejohanan Renang Para Dunia 2019. 

Keputusan pembatalan itu drastic, walaupun tuan rumah Kuching sudah memulakan persediaan untuk menganjurkan kejohanan dijadualkan pada 29 Julai hingga 4 Ogos ini. 

Keputusan mesyuarat di London itu jelas bersifat tindak balas terhadap pendirian Putrajaya yang enggan memberikan visa pelepasan kepada delegasi Israel. 

IPC memilih slogan sukan untuk semua tanpa mempedulikan keprihatinan Malaysia terhadap isu nasib rakyat Palestin. Pendirian IPC memang boleh dijangka kerana Barat memang pro Israel. 

Istilah sukan untuk semua hanyalah alasan IPC. Malah, ia menghebahkan propaganda menggambarkan Malaysia anti semitik dalam sukan untuk menafikan hak Malaysia sebagai tuan rumah.

Presiden IPC Andrew Parsons memberikan alasan: Kejohanan dunia perlu terbuka kepada semua atlet, dan negara yang layak mesti dibenarkan bersaing dengan selamat dan bebas tanpa diskriminasi.

IPC sengaja menggunakan sukan sebagai alat melupakan betapa dahsyat amalan diskriminasi Israel terhadap rakyat Palestin. 

Malah, cara Zionis menduduki Tebing Barat turut menafikan hak umat Islam dari seluruh dunia untuk menziarahi Masjid Al-Aqsa, masjid ketiga paling suci dalam Islam. 

IPC mengabaikan sejarah Hari Nakbah (Hari Kecelakaan) yang merujuk kepada pencerobohan dan pemusnahan lebih 500 bandar dan kampung Palestin oleh tentera Israel pada 15 Mei 1948. 

Hari Nakbah juga menyebabkan lebih 700,000 warga Palestin menjadi pelarian. Tanah milik penduduk Islam dirampas secara kekerasan. 

IPC juga lupa, umat Islam dan komuniti sejagat mengingati tarikh itu sebagai sejarah penjajahan dan kekejaman Israel terhadap kedaulatan bumi Palestin. 

IPC sengaja mengabaikan angka yang dikeluarkan PBB, bahawa penjajahan dan polisi zalim Zionis menyebabkan lima juta rakyat Palestin kini menjadi pelarian ke pelbagai negara jiran. Malah, merentas Eropah hingga ke Amerika Syarikat. 

IPC lupa, Hari Nakbah diperingati sejak 1998 di seluruh Palestin. Malah, turut diperingati di kota-kota Arab, London dan New York. IPC lupa, dunia Barat dan Timur memprotes kekejaman Israel hingga hari ini. Kekejaman Israel menjadikan tamadun moden dunia lebih buruk berbanding sejarah firaun dan era Tartar mahu pun Barbar.

Kolam renang 100 meter untuk atlet para olimpik juga tidak berupaya memadamkan bayang-bayang tembok pemisah yang dibina Israel demi memulaukan hak pergerakan rakyat Palestin di tanah air sendiri. 

Tembok pemisah sepanjang 700 kilometer itu dengan 90% pagar berkawat duri. Manakala bakinya, adalah tembok konkrit setinggi lapan meter. Kesannya 1.8 juta penduduk Palestin hidup terpenjara di sebalik tembok pemisah ini. 

Tembok yang sama juga memisahkan Baitulmaqdis dan Baitullaham di Tebing Barat. Jarak dua bandar itu hanya lapan kilometer, tetapi penduduk kedua-dua bandar itu dihalang menziarahi satu sama lain. 

Lebih jahat, rakyat Palestin berusia 40 tahun ke bawah dilarang melawat dan bersolat di kawasan Masjid Al-Aqsa. 

Tembok pemisah menjadikan penduduk Islam di seluruh kejiranan Palestin terpisah dan dikepung dalam penjara terbuka. 

Justeru, Malaysia punya sebab untuk bersikap tegas. Isu kekejaman Israel terhadap Palestin tidak boleh dibutakan oleh sentimen sukan.

Sekiranya sukan menyeru kepada keamanan dan perpaduan: Apakah Israel sebahagian daripada prinsip itu? 

Selain isu tembok pemisah, Malaysia tidak dapat menerima sikap Israel dalam isu sekatan bantuan kemanusiaan dan hubungan ekonomi terhadap Semenanjung Gaza. 

Pusat Maklumat Palestin melaporkan, dasar sekatan terhadap Gaza dan kepungan pergerakan ekonomi di Tebing Barat menimbulkan krisis ekonomi yang teruk terhadap Palestin. 

Kadar pengangguran kini melepasi 60% dan pendapatan per kapita rakyat Palestin hanyalah sekitar AS$1.50 (RM6.20). 

Lebih mengejutkan, Agensi Bantuan dan Pekerjaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unrwa) menyatakan, jumlah warga Palestin yang bergantung kepada bantuan PBB meningkat daripada 80,000 kepada 800,000 orang. 

Justeru, apa lagi yang dimaksudkan IPC sebagai sukan untuk keamanan dan perpaduan? 

Kecuali IPC rela melihat simbol kolam renang dipenuhi air berwarna merah darah warga Palestin. – 30 Januari, 2019.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen