Mahkamah Agung Venezuela beku aset, larang Guaido ke luar negara


Mahkamah Venezuela memulakan satu siasatan awal dan mengambil langkah pencegahan terhadap Juan Guaido, yang mengisytiharkan dirinya sebagai pemangku presiden. – Gambar EPA, 30 Januari, 2019.

MAHKAMAH Agung Venezuela pada Khamis melarang pemimpin pembangkang dan presiden yang melantik dirinya sendiri, Juan Guaido, daripada meninggalkan negara itu dan mengarahkan agar aset kewangannya dibekukan, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik kenyataan ketua hakim negara itu.

Hakim Maikel Moreno dalam posting beliau di akaun Twitter berkata mahkamah memulakan satu siasatan awal dan mengambil langkah-langkah pencegahan terhadap Guaido, yang dibuat bagi memelihara integriti negara.

Terdahulu, Peguam Negara Venezuela Tarek Saab meminta mahkamah agar menjalankan satu siasatan jenayah terhadap Guaido.

Venezuela digegarkan oleh tunjuk perasaan sejak 10 Januari apabila Presiden Nicolas Maduro mengangkat sumpah untuk penggal kedua selepas pembangkang memboikot pengundian.

Minggu lepas, Guaido, pemimpin Perhimpunan Kebangsaan Venezuela yang dikuasai pembangkang, mengisytiharkan dirinya sebagai pemangku presiden, satu langkah yang segera disokong oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump.

Maduro dengan pantas bertindak balas, iaitu memutuskan hubungan diplomatik dengan AS dan memberikan tempoh 72 jam kepada diplomat Amerika untuk meninggalkan negara itu.

Beliau kemudian menangguhkan perintah itu dan memberikan tempoh 30 hari kepada Washington untuk berunding atau menarik balik saki-baki petugasnya.

Maduro berkali-kali menyelar AS dan berkata Washington kini melancarkan perang ekonomi terhadap beliau dan kerajaannya susulan kempen sekatan secara besar-besaran. – Bernama, 30 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen