Sonar boleh dorong paus bunuh diri


Antara 1960 dan 2004, 121 kejadian berlaku, sekurang-kurangnya 40 daripadanya berlaku di kawasan tentera laut yang menggunakan sonar ditempatkan. – Gambar AFP, 30 Januari, 2019.

AHLI sains sudah lama mengetahui ada sebilangan paus berparuh yang “membunuh diri” dengan mendarat di pantai selepas terdedah kepada bunyi sonar, dan sekarang mereka tahu mengapa: mamalia gergasi laut itu menderita masalah tekanan pembuluh darah, sama seperti penyelam.

Penjelasan yang diterbitkan pada Rabu oleh 21 pakar dalam jurnal Royal Society pada mulanya nampak tidak masuk akal.

Evolusi jutaan tahun mengubah paus menjadi penyelam paling mahir lautan, berupaya menyelam berkilometer dalamnya sehingga berjam lamanya untuk mencari makanan di laut dalam.

Biologi evolusinya membolehkan kadar jantung diperlahan, aliran darah disekat dan bekalan oksigen disimpan.

Jadi bagaimana penyelam paling handal lautan ini boleh terkena keracunan buih nitrogen dalam salur darahnya, keadaan yang sama berlaku kepada penyelam mentah yang naik ke permukaan air terlalu cepat?

Jawapannya mudah: paus berparuh- terutama spesies dikenali sebagai “Cuvier”- jadi sangat takut.

“Dengan kehadiran sonar, mereka akan tertekan dan menyelam tergesa-gesa, menjauhi sumber bunyi tersebut, mengubah corak selaman mereka,” kata penulis utama jurnal itu Yara Bernaldo de Quiros, seorang penyelidik di Institut Kesihatan Haiwan di Universiti Las Palmas de Gran Canaria, Sepanyol kepada AFP.

“Tindak balas tertekan ini, dalam kata lainnya, merosakkan tindak balas selaman, menyebabkan nitrogen terkumpul dalam badan mereka,” katanya.

“Ia seperti suntikan adrenalin.”

Sejenis sonar membuatkan paus ini hilang arah.

Sonar yang dibangunkan pada 1950-an untuk mengesan kapal selam, sonar aktif pertengahan frekuensi (MFAS) yang masih digunakan oleh kapal tentera laut terutama pasukan AS dan Nato.

Bermula pada 1960-an, kapal tentera mula membebaskan bunyi bawah laut dalam julat bunyi 5 kilohertz (kHz).

Ketika itulah, berlaku tragedi bunuh diri paus di pantai.

Antara 1960 dan 2004, 121 kejadian berlaku, sekurang-kurangnya 40 daripadanya berlaku di kawasan tentera laut ditempatkan.

Ia tidak melibatkan ikan paus individu yang tua atau sakit, mahupun pendaratan beramai-ramai paus seperti berlaku November lepas di New Zealand apabila lebih 200 paus mendarat di pantai sehingga mati.

Sebaliknya, sekumpulan paus akan mendarat di pantai sehingga mati dalam selang beza sehari dua, dalam lingkungan beberapa kilometer.

Tragedi paling buruk berlaku pada 2002, apabila 14 paus mendarat di pantai dalam tempoh 36 jam di Kepulauan Canary ketika Nato menjalankan latihan ketenteraan.

Secara luarannya, paus tersebut tidak menunjukkan tanda-tanda penyakit atau kecederaan; berat badan normal dan tiada jangkitan atau kecederaan di kulit.

Namun, di dalam badan mereka, buih gas nitrogen memenuhi saluran darah sehingga menyebabkan pendarahan otak.

Bedah siasat juga mendapati kerosakan kepada organ lain seperti tulang belakang dan sistem saraf pusat.

Seperti manusia- kehadiran buih nitrogen itu berbeza jenis dan kepadatannya.

Kajian pada 2003 diterbitkan jurnal berpengaruh Nature, mendedahkan wujud hubungan antara sonar dan kematian paus menyebabkan Sepanyol mengharamkan latihan ketenteraan di Kepulauan Canary pada 2004.

Penyelidik mendesak pengharaman sama dikenakan ke atas kawasan yang dikenal pasti tempat berkumpulnya paus.

Paus jenis Cuvier boleh membesar sehingga tujuh meter dan menyelam laut dalam untuk mencari sotong dan ikan sebagai makanan mereka. Spesies itu dianggap “terancam” dalam Senarai Merah Spesies IUCN, dan jumlahnya di seluruh dunia dianggar bernilai hanya 5,000 hingga 7,000 ekor sahaja. – AFP, 30 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen