Airbnb buat untung daripada penjajahan Israel


Amnesty International menyifatkan empat gergasi digital Airbnb, Booking.com, Expedia dan TripAdvisor mengaut untung dengan beroperasi dalam kawasan jajahan Israel di Tebing Barat dan Baitulmaqdis. – Gambar AFP, 30 Januari, 2019.

GERGASI pelancongan digital Airbnb, Booking.com, Expedia dan TripAdvisor mengaut untung daripada “jenayah perang” dengan menawarkan perkhidmatan di kawasan jajahan Israel, kata Amnesty International dalam satu laporan dikeluarkan hari ini.

NGO berpangkalan di British itu dalam kajiannya “Destinasi: Penjajahan” mendesak syarikat tersebut menyenaraikan penginapan, aktiviti dan tarikan pelancong dalam kawasan jajahan termasuklah di Baitulmaqdis.

“Mereka berbuat demikian walaupun mengetahui tentang penjajahan Israel di Tebing Barat, termasuk di Timur Baitulmaqdis, yang ditadbir oleh undang-undang kemanusiaan antarabangsa yang menganggap penempatan Israel adalah haram,” kata laporan itu.

“Dengan melakukan perniagaan dalam penempatan itu, keempat-empat syarikat ini menyumbang kepada dan meraih untung daripada pengekalan, pembangunan dan peluasan penempatan haram, yang boleh dianggap sebagai jenayah perang dalam undang-undang jenayah antarabangsa.”

Kumpulan hak asasi itu menuduh kesemua syarikat tersebut “membiasakan” penempatan haram di Tebing Barat dan Timut Baitulmaqdis.

“Untuk mengalakkan tempahan, banyak senarai dalam penempatan itu menggunakan jarak mereka dengan tarikan semula jadi kawasan jajahan, termasuk Laut Mati, hutan simpan dan padang pasir,” tambahnya.

“Dengan menyenaraikan dan mempromosi tarikan alam semulajadi dan aktiviti berasaskan alam ini, syarikat digital ini meningkatkan tarikan senarai mereka, mendapat jumlah pelancong lebih ramai dan akhirnya mendapat manfaat kewangan daripada penjajahan haram sumber alam Palestin.”

Amnesty melancarkan kempen pada 2017 mendesak kerajaan menghalang perniagaan dari negara mereka beroperasi di kawasan jajahan itu.

“Kerajaan seluruh dunia perlu bertindak menyelia syarikat atau aktiviti yang mereka ada kuasa,” desak laporan itu. – AFP, 30 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen