Australia gesa Thailand bebaskan pemain bola sepak pelarian


Pemain bola sepak Hakeem al-Araibi yang merupakan pelarian dari Bahrain dan penduduk Australia, ditahan imigresen Thailand pada November selepas baru tiba di Bangkok untuk bercuti bersama isterinya. – Gambar EPA, 30 Januari, 2019.

PERDANA Menteri Australia, Scott Morrison menggesa rakan sejawatannya dari Thailand agar membebaskan pemain bola sepak pelarian yang ditahan lebih dua bulan dengan permohonan ekstradisi dari Bahrain.

Hakeem al-Araibi, pelarian Bahrain dan penduduk Australia, bimbang dengan penyeksaan dan juga kematian jika kembali ke tanah airnya.

Beliau ditahan oleh pihak berkuasa imigresen Thailand pada hujung November selepas tiba di Bangkok untuk bercuti bersama isterinya.

Pemain berusia 25 tahun itu bermain untuk pasukan remaja kebangsaan Bahrain sebelum melarikan diri dari tanah airnya dan diberikan suaka di Australia dan menjadi pemain separuh profesional di Melbourne.

Morrison membangkitkan isu itu dalam surat kepada Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan-o-cha beberapa hari lalu ketika Canberra meningkatkan usaha untuk membawa pulang Araibi.

Seorang jurucakap menteri luar negeri Marise Payne berkata dalam satu kenyataan kepada AFP pada Rabu, kerajaannya melakukan “usaha ekstensif” bagi pihak Araibi.
“Pemerintah Thailand dan Bahrain sedar, di semua peringkat, pentingnya perkara ini bagi Australia,” kata jurucakap itu.

Pejabat Morrison tidak mendedakan butiran mengenai surat itu pada Rabu, tetapi Sydney Morning Herald berkata beliau menegaskan Araibi sudah diberi visa perlindungan tetap oleh Australia selepas proses mempertimbangkannya.

The Australian juga menulis Canberra percaya kepulangan pemain bola sepak itu ke Bahrain akan melanggar haknya di bawah undang-undang hak asasi manusia antarabangsa, lapor akhbar itu pada Selasa.
Asian Football Confederation (AFC) menyerukan pembebasan Araibi pada Selasa selepas berdiam diri berhubung kes itu.

Pemain itu mendakwa menjadi sasaran Bahrain berhubung kritikannya terhadap Presiden AFC, Sheikh Salman bin Ebrahim Al Khalifa yang merupakan ahli keluarga pemerintah. – AFP, 30 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen