Pelan sekat dana politik asing berjalan lancar


Chan Kok Leong

Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Negara (GIACC) sedang dalam peringkat akhir perbincangan cadangan halang pembiayaan asing untuk parti politik sebelum dihantar ke Kabinet untuk kelulusan dan Jabatan Peguam Negara untuk kerangka akta. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 30 Januari, 2019.

PARTI politik boleh dihalang daripada menerima pembiayaan asing sekiranya cadangan Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Negara (GIACC) diterima Putrajaya.

Cadangan itu sedang dirangka dan akan diserahkan kepada Kabinet untuk kelulusan, kata Ketua Pengarah GIACC Abu Kassim Mohamad.

“Itu sudah dibincangkan dan kami beri pandangan tentangnya dan ia akan dibentangkan kepada kerajaan,” kata Abu Kassim selepas pelancaran Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) semalam.

Larangan penderma asing itu adalah antara beberapa cadangan yang akan dibawa ke Kabinet sebelum undang-undang mengenainya dirangka untuk dibentangkan di Parlimen.

Isu pembiayaan asing mencapai kemuncaknya dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), bekas perdana menteri Najib Razak mendakwa wang RM2.6 bilion yang masuk ke dalam akaun peribadinya adalah derma dari Arab Saudi.

Dakwaan itu bagaimanapun sudah dinafikan kerajaan Saudi, Najib kini berdepan 42 pertuduhan berkaitan skandal kleptokrasi terbesar dunia yang disiasat beberapa buah negara dunia itu.

Abu Kassim berkata GIACC kini dalam peringkat akhir merangka undang-undang dengan parti politik untuk mendapat sokongan mereka sebelum ia dibentangkan.

“Kami hampir selesai. Hanya ada beberapa mesyuarat lagi dan kami sudah boleh hantar cadangan ke Kabinet sebelum dihantar ke Jabatan Peguam Negara untuk merangka (akta),” kata bekas ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia itu.

Undang-undang pembiayaan politik adalah salah satu daripada 115 inisiatif digariskan NACP untuk mewujudkan ketelusan meluas pembiayaan parti politik.

Ketika tempoh pentadbiran lama, parti komponen Barisan Nasional sering dituduh menerima dana daripada sumber yang meragukan, termasuklah daripada 1MDB.

MCA misalnya didakwa menerima sehingga RM16.6 juta menjelang PRU14 lalu. – 30 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen