PELAKON gay berkulit hitam, Jussie Smollett daripada program televisyen AS “Empire” dimasukkan ke hospital pada Selasa di Chicago susulan serangan yang mungkin bermotifkan kebencian dengan penyerang mengikat tali di lehernya, kata polis.
Berita mengenai serangan awal pagi itu menggemparkan dunia hiburan dan kumpulan penyokong gay bersuara bagi mendapatkan sokongan untuk pelakon berusia 36 tahun itu.
Smollett dibelasah kira-kira jam 2 pagi oleh dua penyerang yang melaungkan kata-kata berunsur perkauman dan prejudis terhadap homoseksual ketika beliau berjalan di pusat bandar, kata polis, yang tidak menyebutkan namanya tetapi berkata mangsa adalah seorang pelakon “Empire”.
Rakan pelakon lain dan penerbit Smollett mengenal pasti beliau sebagai mangsa.
Penyerang menyimbah “bahan kimia yang tidak diketahui” dan kemudian melilit tali di leher pelakon berkenaan, menurut polis.
Pelakon dan penyanyi itu dilaporkan berada di Chicago untuk konsert pada Sabtu.
Senator California, Kamala Harris yang pada hujung minggu melancarkan kempennya untuk menjadi presiden wanita berkulit hitam Amerika pertama pada 2020, berkata tiada siapa perlu takut kerana faktor warna kulit dan kecenderungan seksualiti.
“Kita mesti mendatangi kebencian ini,” kata Harris di Twitter.
Rakan produksi dan pelakon “Empire”, serta studio yang mengeluarkan program itu, juga bersuara.
“Seluruh studio, rangkaian dan produksi tetap bersatu dalam menghadapi sebarang tindakan keganasan dan kebencian - dan terutama terhadap salah seorang daripada kami sendiri,” kata 20th Century Fox Television dalam satu kenyataan.
Kumpulan sokongan termasuk The Trevor Project dan American Civil Liberties Union, dengan segera memberikan sokongan mereka juga dengan mengatakan golongan LGBTQ sering berdepan keganasan.
“Ini bukan Amerika yang kita mahu diami.” – AFP, 30 Januari, 2019.
Komen