LIMA maut dan kira-kira 130 hilang di pantai Djibouti selepas dua bot yang membawa pendatang terbalik, kata agensi migrasi PBB pada Selasa.
Kejadian itu berlaku kira-kira 30 minit selepas bot berlebihan muatan berlepas dari Godoria di pantai timur laut Afrika, menurut Pertubuhan Penghijrahan Antarabangsa (IOM).
“Selepas dimaklumkan oleh penduduk setempat, satu pasukan penyelamat berkumpul petang ini berhampiran lokasi yang dilaporkan bencana berlaku dan menemui dua orang yang selamat dan mayat tiga wanita serta dua lelaki,” kata IOM dalam satu kenyataan.
Seorang yang terselamat menganggarkan terdapat 130 orang di dalam bot tetapi tidak dapat mengatakan bilangan penumpang bot lain.
“Pengawal pantai juga dimaklumkan dan melancarkan operasi mencari dan menyelamat. Operasi itu masih dijalankan dengan dua bot ronda,” kata kenyataan itu.
Djibouti beberapa tahun kebelakangan ini menjadi pusat transit bagi pendatang yang menuju ke Semenanjung Arab.
IOM menjalankan pusat di Obock membantu para pendatang yang cuba melarikan diri daripada konflik di Yaman.
Pada 2017 kira-kira 2,900 orang, sebahagian besar penduduk Somalia dan Ethiopia, berlepas dari Yaman, tahun yang menyaksikan kira-kira 100,000 pendatang menuju ke negara yang bermasalah.
“Bilangan ketibaan baru di Yaman terus meningkat sejak 2012, walaupun terdapat ketidakamanan dan keganasan berikutan peperangan yang meletus pada Mac 2015. Ketibaan mencapai puncak pada 2016 apabila lebih 117,000 pendatang tiba di Yaman,” kata IOM dalam 2018 -2020 dalam pelan penghijrahan serantau.
Penghijrahan ini berlaku walaupun Yaman merupakan satu daripada negara mengalami krisis kemanusiaan terburuk di dunia. Pegawai PBB mengatakan 80% penduduknya - 24 juta orang - memerlukan bantuan dan hampir 10 juta bakal berdepan kebuluran.
IOM berkata kebanyakan pendatang ke Yaman berjalan kaki, berjalan melintasi kawasan padang pasir timur Ethiopia, Djibouti dan Somalia utara. Sebaik sahaja tiba di Yaman mereka akan berdepan penyeksaan, peras ugut, penderaan seksual atau buruh paksa.
Perjalanan melalui jalan laut berulang kali terbukti lebih berbahaya.
Tahun lepas, sekurang-kurangnya 30 pendatang dari Somalia dan Ethiopia dipercayai menuju ke Djibouti lemas ketika bot mereka terbalik di pantai Yaman ketika laporan tembakan dilepaskan terhadap mereka yang berada di dalam bot.
Pada Ogos 2017, puluhan pendatang dari Somalia dan Ethiopia meninggal dunia selepas sindiket pemerdagangan manusia memaksa mereka terjun dari bot di tengah laut. – AFP, 30 Januari, 2019.
Komen