SEORANG pakar perundangan PBB yang ditugaskan menyiasat pembunuhan wartawan Arab Saudi, Jamal Khashoggi pada Selasa berkata beliau akan membentangkan laporan siasatan pada hujung Mei.
Agnes Callamard, utusan khas perundangan PBB menjalankan siasatan itu di luar konsulat Arab Saudi di Istanbul.
Khashoggi, pengkritik lantang kerajaan Saudi dibunuh pada 2 Oktober lalu di konsulat itu oleh sekumpulan pembunuh yang dakwa Ankara dihantar Riyadh khas untuk melaksanakan pembunuhan itu.
Bercakap kepada wartawan di luar pejabatnya, Callamard berkata laporannya akan didedahkan kepada awam sempena sesi Majlis Hak Asasi PBB pada Jun nanti.
“Laporan akan didedahkan kepada awam beberapa minggu sebelum saya bentangkan kepada Majlis Hak Asasi di Geneva, jadi mungkin pada hujung Mei,” katanya.
Callamard, seorang pakar bebas dilantik PBB, Isnin lalu bertemu Menteri Luar Mevlut Cavusoglu dan Menteri Kehakiman Abdulhamit Gul di Ankara sebelum pergi ke Istanbul.
Beliau turut dijadualkan berjumpa Ketua Pendakwa Raya Istanbul Irfan Fidan.
Riyadh, selepas menafikan pembunuhan itu berlaku selama dua minggu, akhirnya mengakui operasi bunuh itu berlaku, dijalankan oleh sekumpulan pegawai risik tanpa kebenaran dan menahan beberapa pegawai kanan negara itu.
Tetapi, pembunuhan itu mengheret negara itu ke dalam krisis diplomatik antara yang terburuk pernah dihadapinya. Hampir empat bulan berlalu, mayat Khashoggi masih belum ditemui.
Callamard berkata pasukannya sudah menghubungi pihak berkuasa Saudi untuk masuk ke dalam konsulat.
“Kami menunggu maklum balas mereka.”
Callamard dan pasukannya tidak mahu konsulat itu pada Selasa.
“Untuk berlaku adil permohonan itu agak lewat dibuat, jadi kita perlu beri mereka masa untuk proses permohonan kami,” katanya.
Pegawai Turki menuduh Putera Mahkota Mohammed bin Salman jadi dalang pembunuhan itu, tuduhan yang dinafikan Riyadh.
Perbicaraan 11 orang bermula minggu ini di Arab Saudi, mereka semua dituduh membunuh Khashoggi dan peguam negara sudah memohon hukuman mati kepada lima tertuduh.
Ankara menuduh Riyadh gagal memberikan kerjasama dalam siasatan dan meminta siasatan antarabangsa dilakukan. – AFP, 29 Januari, 2019.
Komen