PAKATAN Harapan boleh mengetepikan cabaran kerjasama Umno dan PAS pada Pilihan Raya Kecil Semenyih tanpa menggunakan isu perkauman, kata Presiden PKR Anwar Ibrahim.
Kerusi DUN Semenyih kosong selepas Adun Bakhtiar Mohd Nor meninggal dunia pada 11 Januari lalu kerana serangan jantung, PRK itu adalah yang keenam sejak pilihan raya umum Mei lalu dan yang pertama akan ditandingi Bersatu.
Ditanya sama ada kerjasama Umno dan PAS akan memberi kesan berdasarkan kejayaan mereka pada PRK Cameron Highlands minggu lepas, Anwar berkata:
“Sementara, ya, nampaknya begitulah kerana orang Melayu merasakan kita tidak tangani masalah mereka, terutama harga komoditi dan barangan keperluan asas.
“Tetapi, saya fikir, berlainan dengan pandangan umum, tidak tepat untuk kata isu perkauman masih relevan,” katanya kepada wartawan pada sebuah forum ekonomi di Kuala Lumpur hari ini.
Pengundian PRK Semenyih dijadualkan pada 2 Mac. Penamaan calon ditetapkan pada 16 Februari dan pengundian awal akan berjalan pada 26 Februari.
Perdana Menteri yang juga Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad semalam berkata kekalahan gabungan pemerintah di Cameron Highlands adalah kerana Barisan Nasional memainkan isu perkauman.
Pada PRK itu, calon PH daripada DAP, M Manogaran dikalahkan oleh calon BN, Ramli Mohd Nor dengan majoriti besar 3,238 undi. Ramli adalah pesara polis dan Orang Asli pertama jadi ahli Parlimen.
Anwar bagaimanapun, percaya yang isu kaum diperbesar-besarkan sebagai faktor kemenangan.
“Kita perlu belajar bukan hanya kerana Cameron Highlands, tetapi, secara asasnya, rakyat ada pandangan yang kepimpinan perlu melunaskan sekurang-kurangnya sebahagian janjinya, terutama yang memberi kesan kepada kumpulan termiskin masyarakat.
“Saya tidak berkongsi pandangan yang (wujudnya) sempadan kaum, dengan syarat kita lakukan tugas kita kepada rakyat.
“Itulah caranya kita berkhidmat dan saya optimis yang kita ada dasar yang tepat, kita turun padang dan kita berkhidmat kepada rakyat, kemudian kita akan dapat uruskan semuanya (dapat sokongan rakyat).” – 29 Januari, 2019.
Komen