MOSCOW pada Selasa mengecam sekatan “haram” diumumkan Washington terhadap syarikat minyak Venezuela yang bertujuan melumpuhkan pentadbiran Presiden Nicolas Maduro.
“Pihak berkuasa Venezuela yang saha sudahpun melabelkan sekatan ini sebagai haram. Kami sepenuhnya menyokong pandangan ini,” kata jurucakap Kremlin Dmitry Peskov kepada wartawan.
Tindakan ke atas PDVSA diperkenalkan untuk “mengubah kelakuan” kerajaan pemerintah, kata Perbendaharaan AS. Washington minggu lepas mengiktiraf pemimpin pembangkang Juan Guaido sebagai presiden sementara yang sah dan mendesak Maduro berundur.
Peskov berkata sekatan itu adalah “campur tangan ke dalam hal ehwal dalaman Venezuela” dan kes “persaingan haram”.
Tambahnya, Rusia akan berusaha melindungi kepentingannya “dalam kerangka undang-undang antarabangsa”.
Menteri Luar Sergei Lavrov berkata sekatan terbaru itu “melanggar semua norma antarabangsa” dan menggambarkan campur tangan dalam perubahan kerajaan Venezuela.
“AS secara terbuka bertindak ke arah perubahan kerajaan secara haram”, katanya.
Rusia akan “berbuat apa sahaja untuk menyokong kerajaan sah Presiden Maduro,” katanya pada sidang media itu. – AFP, 29 Januari, 2019.
Komen