PIHAK berkuasa China pada Selasa menghukum mati seorang lelaki yang membunuh 15 orang dengan merempuh kereta dipandunya ke kawasan orang ramai di tengah Hunan tahun lepas.
September lalu, Yang Zanyun menggunakan Land Rover merempuh pejalan kaki di bandar Hengdong sebelum mula menikam orang awam dengan pisau.
Lima belas orang terbunuh dan 43 yang lain cedera.
Mahkamah Hengyang di Hunan pada selasa berkata “ia melaksanakan hukuman mati” ke atas Yang Zanyun kerana “membahayakan keselamatan awam melalui kaedah merbahaya”.
Polis tempatan menggelarkan “penjenayah berulang penuh dendam” ketika itu, menyenaraikan kesalahan dadah, curi dan mendatangkan kecederaan sebagai kesalahan lalu dalam kenyataan mereka.
China mempunyai beberapa kejadian serupa sejak beberapa bulan lepas.
Pada hujung November, sebuah kereta merempuh sekumpulan pelajar sekolah yang melintas jalan di depan sekolah mereka di Liaoning, membunuh lima orang dan mencederakan sekurang-kurangnya 19 yang lain.
Pemandu berkata dia “memilih mangsanya secara rawak” dan dilaporkan cuba membunuh diri sebelum kejadian itu berlaku.
Pada Disember, lapan maut dan 22 cedera selepas seorang lelaki merampas sebuah bas dan merempuh pejalan kaki di Fujian.
Dia membunuh seorang pegawai kerajaan tempatan dan anggota polis sebelum merampas bas itu, menurut laporan media China. – AFP, 29 Januari, 2019.
Komen