PENDAKI bebas Perancis Alain Robert ditahan pada Selasa selepas memanjat menara tertinggi di Manila, Filipina, menurut polis.
Lelaki berusia 56 tahun yang mendapat gelaran “Spiderman Perancis” itu memanjat Menara GT tanpa sebarang peralatan keselamatan, menyebabkan penonton yang menyaksikan aksi itu terkejut.
“Ini cara hidup saya. Ia sama penting seperti makan, tidur bagi saya. Saya perlukannya. Ia membuatkan saya terus hidup,” katanya kepada pemberita selepas menamatkan aksi itu.
Polis bagaimanapun kurang berminat dengan aksi lagak ngeri berkenaan dan bertindak menahannya sebaik sahaja lelaki itu sampai di puncak menara berkenaan selepas dua jam memanjat.
Alain Robert ditahan dan didakwa kerana mencetuskan kekacauan awam dan menunggu keputusan daripada pendakwaan untuk jaminan.
Beliau pernah memanjat lebih 100 buah struktur tinggi tanpa sebarang tali atau peralatan keselamatan, mencipta rekod “memanjat bangunan paling banyak tanpa bantuan peralatan” menurut Guinness World Records.
Antara bangunan pencakar langit terkenal yang pernah dipanjatnya adalah Menara Eiffel, Sydney Opera House di Australia, Menara Berkembar Pertronas di Kuala Lumpur dan Burj Khalifa di Dubai.
Bagaimanapun pada Jun, cubaannya untuk menakluk bangunan pencakar langit di Seoul, Korea Selatan iaitu Menara Lotte digagalkan oleh pihak berkuasa yang memaksanya menghentikan aksi itu. – AFP, 29 Januari, 2019
Komen