Beratus ribu ikan mati akibat kemarau di Australia


Penduduk di sekitar Sungai Darling dikejutkan dengan lautan bangkai ikan di permukaan air berhampiran pekan Outback, tenggara Menindee. – Gambar AFP, 29 Januari, 2019.

BERATUS ribu ikan dilaporkan mati susulan kemarau melanda Australia sejak beberapa hari lalu dan pihak berkuasa hari ini memberi amaran, lebih banyak dijangka mati.

Penduduk di sekitar Sungai Darling dikejutkan dengan lautan bangkai ikan di permukaan air berhampiran pekan Outback, tenggara Menindee.

Hanya seminggu selepas jutaan ikan ditemui mati akibat keadaan air yang cetek dan kadar oksigen semakin berkurangan, satu lagi kematian besar-besaran berlaku hari ini di wilayah pengeluar utama ikan.

Inspektor Jabatan Perindustrian Utama New South Wales ketika melawat lokasi berkata, mereka menemui ratusan ribu bangkai ikan terapung di permukaan sungai.

“Kejadian di Sungai Darling ini sudah dijangka kerana sejumlah besar hidupan itu dikesan berada dalam keadaan tertekan,” kata jabatan terbabit dalam satu kenyataan.

Sungai Darling adalah sebahagian daripada sistem Sungai Murray-Darling sepanjang ratusan kilometer merentasi beberapa negeri.

Dengan suhu dijangka terus meningkat dan tiada taburan hujan, risiko kematian ikan pada skala besar akan terus berlaku dalam masa terdekat, kata jabatan terbabit.

Inspektor berkata kematian terbaru itu berkemungkinan besar berlaku akibat kekurangan kadar oksigen dengan begitu kritikal selepas penurunan suhu secara mendadak. – AFP, 29 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen