ANGKA korban dalam tragedi empangan sisa perlombongan, yang terletak di bahagian tenggara negeri Minas Gerais, runtuh telah mencecah 65 orang, kata pihak berkuasa tempatan.
Penyelamat berusaha mengeluarkan mayat dan mencari mangsa yang terselamat susulan insiden pada Jumaat di bandar Brumadinho itu, namun selepas tiga hari tragedi kemanusiaan dan alam sekitar tersebut berlaku, peluang untuk menemui mereka yang masih hidup adalah tipis.
Kira-kira 279 orang masih hilang dan lebih separuh daripada mereka adalah pekerja gergasi perlombongan iaitu Vale, yang memiliki lombong bijih besi.
Sejumlah penduduk di kawasan itu juga gagal dikesan.
Sebilangan besar pekerja sedang makan tengah hari di kafetaria syarikat yang terletak di bawah empangan itu ketika ia pecah dan melepaskan aliran lumpur toksik.
Penyelamat percaya aliran lumpur itu telah menghanyutkan kafetaria tersebut dan sebuah hotel tempatan, menyebabkan kedua-duanya sukar dikesan. – Bernama, 29 Januari, 2019.
Komen