CANSELOR Jerman telah memberi amaran berkaitan bahaya kebangkitan nasionalisme serta populisme, dan menggesa agar usaha lebih kuat dilakukan untuk mempertahan prinsip-prinsip hak asasi manusia di seluruh dunia, lapor agensi berita Turki Anadolu.
“Di kebanyakan negara termasuk Jerman, kita kini menyaksikan peningkatan populisme dan tidak terkecuali nasionalisme,” kata Angela Merkel pada Isnin semasa satu majlis penyampaian anugerah di Berlin.
“Prinsip-prinsip asas undang-undang antarabangsa atau hak asasi manusia kini dipersoal. Kita mesti bangun menentang perkara ini,” katanya.
Canselor Jerman itu berkata demikian sebelum menerima Hadiah Fulbright bagi Pemahaman Antarabangsa.
Pengerusi Jawatankuasa Hadiah Persatuan Fulbright, Mary Ellen Schmider berkata Merkel diberikan anugerah itu kerana “kepimpinan dan keperibadiannya yang luar biasa” serta komitmen beliau yang teguh kepada pemahaman bersama, kerjasama antarabangsa dan keamanan.
Penerima anugerah itu sebelum ini termasuk Nelson Mandela, Jimmy Carter, Desmond Tutu, Bill Clinton, Doktor Tanpa Sempadan serta pasangan Bill dan Melinda Gates. – Bernama, 29 Januari, 2019.
Komen