PRESIDEN Afghanistan Ashraf Ghani semalam berkata Taliban seharusnya “mengadakan rundingan serius” dengan kerajaan, selepas pemberontak itu dan Washington menunjukkan perkembangan dalam perbincangan di Qatar minggu lalu.
Taliban sejak dulu enggan berunding dengan kerajaan Afghanistan, menggelar mereka “boneka”.
Bagaimanapun tekanan diplomatik selama berbulan oleh Amerika Syarikat (AS) untuk menjadi orang tengah rundingan berhasil dalam enam hari pertemuan antara Washington dan wakil pemberontak di Doha, mencetuskan harapan kejayaan lebih 17 tahun selepas pencerobohan AS.
Kedua-dua Taliban dan AS mendakwa mencapai perkembangan hujung minggu lalu dan akhbar New York Times (NYT) memetik wakil khas Washington, Zalmay Khalilzad semalam sebagai berkata mereka membentuk “draf rangka kerja” namun beliau memberi amaran butiran perlu diteliti dan faktor penting kekal.
Perbincangan tertumpu pada gencatan senjata, tarikh pengunduran tentera asing serta keengganan berterusan Taliban berbincang dengan kerajaan Afghanistan.
Pihak berkuasa Kabul sebelum ini mengadu diketepikan daripada rundingan dan memberi amaran, sebarang perjanjian antara AS dan Taliban memerlukan kelulusan Kabul.
“Saya menggesa Taliban menunjukkan kesungguhan mereka dan menerima tuntutan perdamaian serta berunding secara serius dengan kerajaan Afghanistan,” kata Ghani dalam ucapan televisyen dari istana presiden di Kabul. – AFP, 29 Januari, 2019.
Komen