PELAN Anti Rasuah Nasional (NACP) diperlukan untuk menahan pesalah rasuah dalam negara, kata pemimpin pembangkang.
“Pelan itu bagus untuk negara. Jika rasuah tidak dibanteras, ia akan memusnahkan negara,” kata pemangku presiden Umno Mohamad Hasan di Putrajaya hari ini.
“Kita tidak boleh tunggu kerana sentimen anti rasuah perlu dijadikan sebagai satu budaya,” kata bekas menteri besar Negeri Sembilan itu.
Dalam satu bentuk perpaduan yang jarang berlaku, Mohamad dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang turut menerima salinan NACP daripada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad selepas pelancarannya di Putrajaya hari ini.
Mohamad berkata jika Malaysia bermula sekarang, negara ini akan bebas rasuah dalam tempoh 20 tahun akan datang.
Bagaimanapun, Adun Rantau itu menafikan bahawa kerajaan terdahulu rasuah.
“Bukan hanya pentadbiran, tetapi negara secara keseluruhan,” kata Mohamad ketika ditanya sama ada kerajaan Barisan Nasional bertanggungjawab atas amalan rasuah dalam negara.
Sementara itu, Hadi hanya berkata “Sokong, saya sokong”, ketika diminta mengulas mengenai NACP.
Ketika ditanya adakah beliau menyokong pelan itu, Hadi berkata: “Tanggungjawab kita bersama untuk membanteras rasuah. Pelan itu, kami perlu baca dulu.”
Ketika melancarkan pelan itu pagi ini, Dr Mahathir berkata Malaysia perlu memastikan amalan rasuah terdahulu yang menjejaskan reputasinya tidak akan berulang lagi. – 29 Januari, 2019.
Komen