ANGKA korban dalam insiden letupan saluran paip minyak di bandar Tlahuelilpan, Hidalgo di Mexico telah mencecah 115 orang, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan Menteri Kesihatan Jorge Alcocer pada Isnin.
Sejak insiden itu berlaku pada 18 Januari, angka kematian semakin meningkat kerana kebanyakan mangsa yang cedera, kebanyakannya mengalami luka terbakar yang teruk, meninggal dunia akibat kecederaan.
“Hujung minggu ini, Sabtu khususnya, adalah hari pertama yang menyaksikan tiada mangsa yang meninggal dunia akibat bencana dahsyat itu… Dalam tempoh 48 jam lepas, hanya seorang pesakit meninggal dunia,” kata Alcocer kepada pemberita semasa taklimat harian kerajaan.
Beliau berkata sejumlah 32 pesakit kekal di hospital dan mereka “mempunyai prognosis lebih baik”, meskipun mengambil masa lebih lama untuk pulih susulan kecederaan teruk yang mereka alami.
Alcocer menziarahi lapan pesakit pada hujung minggu dan meskipun keadaan mereka “masih lemah, ingatan mereka telah pulih dan sedar apa yang berlaku.”
Saluran paip bocor, yang menyebabkan minyak terpancut keluar seperti geiser, menarik perhatian kira-kira 600 hingga 800 orang, kebanyakan mereka membawa bekas untuk mengisi minyak percuma itu, sebelum ia meletup dan terbakar.
Letupan dan kebakaran yang berlaku meragut nyawa berpuluh-puluh orang tempat kejadian.
Pihak berkuasa berkata kebocoran saluran paip itu disebabkan oleh kegiatan mencuri minyak, satu masalah yang menyebabkan negara itu menanggung kerugian kira-kira AS$3 bilion pada 2018. – Bernama, 29 Januari, 2019.
Komen