SEBUAH motosikal yang sarat dengan bahan letupan meletup di sebuah pasar awam di bandar pelabuhan Mocha di Laut Merah Yaman semalam, menyebabkan enam orang awam terbunuh manakala 26 lagi cedera, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan seorang pegawai kerajaan.
Pegawai itu, yang enggan dikenali, berkata letupan tersebut berlaku pada 7.45 malam waktu tempatan ketika ramai orang berkumpul di kawasan terbabit untuk makan malam di sebuah restoran.
Motosikal itu diparkir berhampiran restoran terbabit.
Tidak jelas sama ada tentera pro-kerajaan atau para pegawai kerajaan yang menjadi sasaran dalam insiden pengeboman itu.
Penduduk tempatan berkata sebuah pusat perubatan kecil di Mocha dibanjiri mangsa yang cedera, kebanyakan mereka dalam keadaan kritikal.
Tiada pihak mengaku bertanggungjawab melakukan serangan menggunakan motosikal itu.
Pasukan keselamatan pro-kerajaan memulakan siasatan berhubung insiden itu.
Negara Arab yang miskin itu terjerumus dalam kancah perang saudara sejak pemberontak Houthi Syiah menewaskan pasukan tentera dan merampas semua wilayah utara, termasuk ibu kota Sanaa, pada 2014.
Arab Saudi mengetuai gabungan tentera Arab yang campur tangan di Yaman pada 2015 untuk membantu Presiden Abd-Rabbu Mansour Hadi selepas pejuang Houthi memaksa beliau berundur. – Bernama, 29 Januari, 2019.
Komen