Tidak akan berulang lagi, janji PM perangi rasuah


Chan Kok Leong

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad melancarkan Pelan Anti Rasuah Nasional di Putrajaya hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 29 Januari, 2019.

MALAYSIA perlu memastikan amalan rasuah yang mencemari negara dan berlaku sebelum ini tidak akan terjadi lagi, kata Dr Mahathir Mohamad.

“Apa yang telah berlaku akan kita pastikan tidak berulang – never again,” kata perdana menteri ketika melancarkan pelan lima tahun Pakatan Harapan (PH) untuk menangani rasuah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pagi ini.

“Kerajaan hari ini dipilih atas kesedaran rakyat yang tidak boleh lagi menerima perbuatan rasuah yang berleluasa dan jelas merosakkan negara.

“Rakyat bangun secara kolektif dan menggunakan kuasa rakyat untuk menolak kerajaan yang dahulu. Ia satu pernyataan tegas bahawa rasuah di kalangan pemimpin kerajaan dan di kalangan kakitangan awam tidak boleh lagi diterima,” kata Dr Mahathir pada majlis pelancaran Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP).

Sebagai simbolik, Dr Mahathir menyerahkan pelan itu kepada beberapa menteri – Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali.

Salinan NACP juga diberikan kepada Presiden PKR dan bakal perdana menteri Anwar Ibrahim dan Ketua Setiausaha Negara Dr Ismail Abu Bakar dan wakil persatuan sivil seperti Pengarah Eksekutif C4 Cynthia Gabriel.

Turut serta ialah pemangku pengerusi Barisan Nasional dan pemangku presiden Umno Mohamad Hasan dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata PH tidak ada pilihan lain kecuali menjadikan pentadbiran baik dan integriti sebagai keutamaannya.

“Kita menang pilihan raya lalu kerana kita memperjuangkan governans dan integriti. Kita tidak ada pilihan lain selain mengutamakan governans dan integriti. Ini pilihan rakyat dan diamanahkan kepada kerajaan PH,” katanya, menambah menteri dan ahli Parlimennya sudah mengisytiharkan aset mereka tahun lalu.

Dr Mahathir berkata NACP menandakan komitmen PH dalam memerangi rasuah.

“Pelan ini juga satu pernyataan yang tegas dari kerajaan sekarang, iaitu pesalah yang lalu telah dan sedang kita kejar dan akan kita hukum, manakala perasuah sekarang dan masa depan akan berdepan dengan tindakan yang lebih tegas.

“Ia satu bukti bahawa tindakan yang kita ambil terhadap perasuah yang lalu bukanlah satu tindakan berlandaskan dendam atau benci.

“Ia satu tindakan yang diambil kerana kerosakan yang mereka lakukan kepada negara amat besar dan tidak boleh dibiarkan supaya sesiapa yang merancang untuk melakukan rasuah seperti mereka tidak akan dibiarkan terlepas dan hukumannya adalah lebih berat dan tegas,” katanya.

Pelan Anti Rasuah Nasional itu disediakan oleh Pusat Tadbir Urus, Integriti dan Anti-Rasuah (GIACC) yang diketuai oleh Abu Kassim Mohamad. – 29 Januari, 2019.

MENYUSUL


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen