Laporan bedah siasat kedua CEO Cradle Fund keluar tidak lama lagi, kata polis


Alfian Z.M. Tahir

Nazrin Hassan ditemui mati di bilik tidurnya, yang terbakar, di Mutiara Damansara pada 14 Jun 2018, sehari sebelum Hari Raya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Januari, 2019.

SIASATAN berhubung kes pembunuhan Ketua Pegawai Eksekutif Dana Cradle Fund, Nazrin Hassan akan dimulakan semula selepas polis mendedahkan yang laporan bedah siasat kedua mengenainya akan keluar dalam masa terdekat

“Ia sepatutnya keluar tidak lama lagi, tidak lama lagi,” kata sumber polis kepada The Malaysian Insight.

Keluarga Nazrin juga dimaklumkan oleh polis yang laporan itu akan siap dalam masa terdekat

“Kami diberitahu laporan bedah siasat akan siap tidak lama lagi. Polis memberitahu kami kira-kira 10 hari lalu,” kata ahli keluarga Nazrin.

Bagaimanapun, ahli keluarganya, menambah mereka merancang untuk menemui polis selepas cuti Tahun Baru Cina.

“Kita perlu tahu status siasatan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Siasatan tertangguh sejak tiga bulan lalu selepas keluarga Nazrin membuat laporan polis mendakwa bedah siasat pertama adalah cacat.

Nazrin ditemui mati di bilik tidurnya, yang terbakar, di Mutiara Damansara pada 14 Jun tahun lepas, sehari sebelum Hari Raya.

Keluarganya berkata telefon bimbitnya meletup, menyebabkan kebakaran. Dana Cradle juga mengeluarkan satu kenyataan yang mengatakan beliau meninggal dunia akibat kecederaan yang disebabkan oleh letupakan telefon bimbit yang dicas di sebelah katilnya.

Polis kemudian mengklasifikasi semula kes itu sebagai pembunuhan selepas kesan petrol ditemui di dalam badan.

Semasa siasatan, polis menahan balu Nazrin, Samirah Muzaffar, dua anak lelaki Samirah daripada perkawinan terdahulu, bekas suaminya, kakak dan adik iparnya juga. Semua dibebaskan dengan ikat jamin. – 30 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen