AMERIKA Syarikat (AS) pada Isnin mengenakan sekatan ke atas sebuah firma minyak milik kerajaan Venezuela, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan Penasihat Keselamatan Negara AS John Bolton.
Sekatan ke atas Petroleos de Venezuela SA, atau dikenali sebagai PDVSA, akan menyekat aset bernilai AS$7 bilion dan mungkin menyebabkan kerugian jualan sebanyak AS$11 bilion pada tahun depan, kata Bolton kepada pemberita dalam satu taklimat White House.
Sekatan keras Washington dibuat beberapa hari selepas ia mengiktiraf pemimpin pembangkang Juan Guaido sebagai presiden sementara Venezuela dan mengecam penyandangnya, Presiden Nicolas Maduro, yang memenangi pilihan raya itu tahun lepas dengan jumlah undi melebihi dua pertiga.
Perbendaharaan AS menyifatkan PDVSA sebagai “sumber utama pendapatan dan mata wang asing Venezuela” dalam satu kenyataan pada lewat Isnin, yang menyebut bahawa langkah itu boleh membantu “mencegah pengalihan lanjut aset-aset Venezuela oleh Maduro.”
Perbendaharaan itu mengisytiharkan langkah menarik balik sekatan tersebut boleh dilakukan “menerusi pemindahan kuasa yang pantas kepada presiden sementara atau kerajaan seterusnya yang dipilih secara demokratik.”
Setiausaha Perbendaharaan AS Steven Mnuchin berkata negara itu akan “terus menggunakan semua saluran diplomatik dan ekonomi untuk menyokong” Guaido, ketua Perhimpunan Kebangsaan, yang mengisytiharkan dirinya sebagai presiden sementara semasa satu perhimpunan antikerajaan.
Maduro memenangi pilihan raya presiden pada Mei dengan meraih 67.84% undi dan mengangkat sumpah sebagai presiden pada 10 Januari untuk tempoh enam tahun lagi.
Pada 23 Januari, Guaido, 35, mengisytiharkan dirinya sebagai presiden sementara.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Antonio Guterres menggesa semua pihak berkaitan agar mengurangkan ketegangan dan mengadakan dialog bagi menangani krisis yang berlarutan di Venezuela, selepas tunjuk perasaan antikerajaan di ibu kota Caracas bertukar menjadi ganas, kata jurucakapnya pada Khamis. – Bernama, 29 Januari, 2019.
Komen