Rasuah dalam sektor awam paling tinggi, kata laporan


Chan Kok Leong

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad melancarkan laporan Pelan Anti Rasuah Nasional yang mendedahkan rasuah dalam sektor perkhidmatan awam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 29 Januari, 2019.

ENAM daripada 10 aduan yang diterima oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (2013-2018) membabitkan sektor perkhidmatan awam.

Sebaliknya, rasuah dalam sektor swasta hanya 17.06%.

Laporan Pelan Anti Rasuah Nasional yang dilancarkan awal hari ini menyatakan 42.8% daripada aduan diterima oleh SPRM berkaitan pemerolehan awam, 23.9% membabitkan pegawai penguat kuasa dan 8.6% berkaitan pelesenan dan permit.

Aduan lain ialah tentang cukai (8.1%), pentadbiran (13.4%), perniagaan dan industri (1.2%) dan kehakiman (0.9%).

Laporan yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad itu menyatakan sektor perkhidmatan awam dikenal pasti sebagai paling terdedah.

Bahagian lain yang berisiko tinggi dan cenderung untuk menarik amalan rasuah ialah ahli politik, pemerolehan awam, undang-undang dan kehakiman, penguatkuasaan dan pentadbiran korporat.

Punca utama rasuah, menurut analisis SPRM (2013-2018) ialah kerana kelemahan dalam pentadbiran (36.43%), konflik kepentingan (33.12%), kawalan dalaman yang lemah (18.97%) dan kurang ketelusan (6.45%).

Antara kekangan dalam membanteras rasuah di Malaysia ialah campur tangan politik dalam pentadbiran dan pengurusan kewangan dalam negara, kurangnya desakan politik, agensi penguatkuasaan bebas dan adil serta hukuman tidak cukup berat bagi kesalahan rasuah.

Laporan NACP berkata antara 2005-2014 Malaysia kerugian RM1.8 trilion akibat rasuah.

Laporan itu berkata 57% rakyat Malaysia yang dikaji selidik oleh Transparency International bagi Barometer Rasuah Global pada 2017, berkata polis yang paling rasuah.

Seterusnya dalam senarai ialah kerajaan tempatan (48%), penjawat awam (45%) dan ahli politik (41%). Hakim dan pemimpin agama juga tidak terlepas kerana masing-masing turut terbabit dengan rasuah pada 33% dan 31%.

Kaji selidik terhadap 1,009 orang berkata 23% rakyat Malaysia mengakui membayar rasuah pada 2016. – 29 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen