Speaker kongres AS jemput Trump sampaikan ucapan negara 5 Februari


Presiden AS Donald Trump sepatutnya menyampaikan laporan tahunan beliau kepada Kongres pada 29 Januari, namun ia ditangguhkan atas faktor keselamatan susulan penutupan sebahagian kerajaan. – Gambar EPA, 29 Januari, 2019.

SPEAKER Kongres Amerika Syarikat (AS) Nancy Pelosi menjemput Presiden Donald Trump untuk menyampaikan ucapan negara pada 5 Februari, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan timbalan ketua turus Pelosi, Drew Hammill.

“Ketilka saya mengutuskan surat kepada anda pada 23 Januari, saya menyatakan bahawa kita perlu bekerjasama dalam mencari satu tarikh yang saling dipersetujui apabila kerajaan dibuka untuk menjadualkan semula ucapan negara pada tahun ini,” kata Pelosi dalam sepucuk surat kepada Trump, yang salinannya dikongsi oleh Hammill menerusi akaun Twitter pada petang Isnin.

“Dalam perbualan kita hari ini, kita bersetuju dengan tarikh 5 Februari.”

“Oleh itu, saya menjemput anda untuk menyampaikan ucapan negara sebelum Sesi Bersama Kongres pada 5 Februari 2019 di Dewan Perwakilan,” menurut surat itu.

Pelosi pada asalnya menjemput Trump untuk menyampaikan laporan tahunan beliau kepada Kongres pada 29 Januari, namun kemudian meminta presiden itu menangguhkan ucapannya atas faktor keselamatan kerana agensi persekutuan yang bertanggungjawab menjaga keselamatan bagi acara itu tidak dibiayai susulan penutupan sebahagian kerajaan. – Bernama, 29 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen