Syarikat lombong rugi AS$18 bilion susulan empangan runtuh


Anggota penyelamat masih meneruskan misi mencari mangsa yang hilang susulan tragedi empangan runtuh di Brazil pada Jumaat lalu. – Gambar EPA, 29 Januari, 2019.

SYARIKAT perlombongan gergasi Brazil, Vale kehilangan lebih daripada AS$18 bilion (RM76 bilion) daripada nilainya semalam apabila saham di Bursa Saham Sao Paulo menjunam ketika pelabur bertindak balas terhadap kejadian empangan runtuh yang mengorbankan puluhan nyawa dan ratusan yang lain hilang.

Ia adalah penurunan sebanyak 24.5% susulan kejatuhan 8% di Bursa Saham New York pada Jumaat, hari kejadian berlaku. Bursa Brazil ditutup hari itu bagi cuti umum.

Saham Vale terus jatuh semalam yang sudahpun berada pada tahap 17.5% lebih rendah sebelum dagangan ditutup.

Vale, pelombong bijih besi terbesar di dunia, dilihat terancam reputasinya dengan kemalangan maut - yang kedua melibatkan empangan milik syarikat di negeri bahagian tenggara Brazil, Minas Gerais dalam masa lebih tiga tahun.

Syarikat itu berkata ia menangguhkan pembayaran dividen kepada para pemegang saham dan bonus berkaitan prestasi kepada eksekutif.

Pihak berkuasa Brazil pada masa yang sama membekukan sejumlah 11 bilion reais (RM12 bilion) dalam aset Vale dengan jangkaan pampasan yang mungkin akan diberikan.

Tsunami lumpur merempuh empangan di sebuah lombong bijih besi yang dimiliki Vale dekat bandar Brumadinho pada 25 Januari.

Kenyataan rasmi bencana setakat ini mengatakan 60 orang mati dan 292 hilang.

Pada 2015, empangan di lombong lain yang dimiliki bersama oleh syarikat itu pecah, membunuh 19 orang dan mencemarkan ratusan kilometer sungai, dianggap sebagai bencana alam sekitar paling buruk pernah berlaku di Brazil.

Vale dan rakan kongsinya, BHP masih membayar untuk kemalangan itu, dengan pampasan dan denda berjumlah lebih AS$6 bilion dan saman yang sedang berjalan. – AFP, 29 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen