Data sulit 14,200 pesakit HIV di Singapura bocor


Data sulit 14,200 mereka yang hidup dengan virus HIV di Singapura bocor, kebocoran data kedua terbesar republik itu dalam tempoh beberapa bulan. – Gambar EPA, 28 Januari, 2019.

DATA sulit 14,200 mereka yang hidup dengan virus HIV- kebanyakannya warga asing- dicuri dan dibocorkan dalam talian di Singapura, kata pihak berkuasa hari ini, pencerobohan data kedua terbesar berlaku di republik itu dalam tempoh beberapa bulan.

Seorang penjenayah warga Amerika Syarikat dipercayai membocorkan maklumat tersebut selepas memperolehinya daripada pasangannya, seorang doktor warga Singapura dengan akses kepada senarai pendaftaran HIV, kata Kementerian Kesihatan.

Kebocoran data sulit itu berlaku selepas rekod kesihatan 1.5 juta warga Singapura, termasuk Perdana Menteri Lee Hsien Loong dicuri dalam serangan siber yang dipercayai ditaja pada Jun dan Julai tahun lalu, kebocoran data terbesar dialami negara itu.

“Maklumat sulit 14,200 individu yang didiagnos dengan HIV sehingga Januari 2013 dan 2,400 maklumat perhubungan mereka dalam pegangan seorang individu yang tidak berkuasa memegangnya,” kata kementerian dalam satu kenyataan.

“Maklumat itu secara salah didedahkan dalam talian…kami meminta maaf untuk semua kerisauan dan tekanan disebabkan kejadian ini.”

Data tersebut termasuklah nama, nombor pengenalan, butiran perhubungan, keputusan ujian HIV dan maklumat perubatan lain.

Akses kepada maklumat tersebut sudah disekat, tetapi data itu masih berada dalam pegangan pihak yang membocorkannya- dan boleh dibocorkan sekali lagi, kata kementerian.

Mereka yang terkesan adalah 5,400 warga Singapura yang didiagnos dengan HIV sehingga Januari 2013 dan 8,800 warga asing yang dikesan dijangkiti virus itu sehingga Disember 2011.

Singapura, negara kaya dengan 5.6 juta penduduk adalah tempat tinggal ramai ekspatriat.

Kementerian Kesihatan membuat laporan polis minggu lepas tentang maklumat sulit senarai HIV yang mungkin dibocorkan kepada awam.

Data sulit itu dipegang oleh Mikhy K Farrera Brochez, seorang warga AS yang tinggal di Singapura sejak 2008 hingga 2016, kata kementerian.

Dia disabitkan bersalah kerana penipuan dan kesalahan berkaitan dadah pada Mac 2017, dan telah diusir dari Singapura selepas habis menjalani hukuman.

Kementerian berkata Brochez pada masa sekarang tidak berada di Singapura, dan pihak berkuasa sudah meminta bantuan antarabangsa untuk mengesannya.

Brochez adalah pasangan doktor Ler Teck Siang, yang mempunyai akses kepada senarai pendaftaran HIV kerana tugasnya.

Ler disabitkan bersalah pada September lalu kerana bersubahat dengan Brochez melakukan jenayah dan dijatuhi hukuman 24 bulan penjara. Dia sedang membuat rayuan.

Awal bulan ini, siasatan rasmi ke atas kebocoran data tahun lepas menyenaraikan kegagalan pematuhan prosedur, termasuk kelemahan sistem komputer, dan pihak berkuasa Singapura percaya serangan siber itu digerakkan oleh pihak berkuasa negara lain. – AFP, 28 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen