LIMA belas orang terkorban manakala 30 lagi cedera dalam kejadian tanah runtuh ketika majlis perkahwinan sedang berlangsung di sebuah hotel di Abancay, Peru pada Sabtu.
Banjir lumpur mengakibatkan dinding dan bumbung hotel runtuh dan ketika kejadian lebih 100 tetamu berada di majlis itu, menurut Institut Pertahanan Awam Negara (Indeci) Peru.
Pihak berkuasa berkata kejadian dicetuskan oleh hujan lebat dan petugas kecemasan dikejarkan ke lokasi untuk membantu mengeluarkan mangsa yang masih terperangkap di bawah runtuhan.
Pengarah Indeci, Jorge Chavez berkata 13 mangsa disahkan terbunuh di lokasi kejadian sementara dua lagi meninggal dunia di hospital.
Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Daerah Abancay, 15 daripadanya dibenarkan pulang kerana hanya mengalami cedera ringan.
Sementara itu, pihak Indeci telah menghubungi waris mangsa bagi menjalankan urusan pengecaman mayat. – Bernama, 28 Januari, 2019.
Komen