NAJIB Razak berdepan dengan tiga pertuduhan lagi berkaitan kes SRC International, dengan pihak pendakwaan menuduhnya mencuri RM89 juta -bukannya RM42 juta- daripada bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad itu.
“Ada tiga pertuduhan baharu terhadap Najib,” kata Shafee Abdullah kepada The Malaysian Insight.
Shafee mengesahkan pertuduhan tersebut berkaitan dengan dakwaan pengubahan wang haram yang dikenakan ke atas Najib.
Difahamkan yang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertemu Najib malam tadi dan awal pagi hari ini di kediaman peribadinya sebelum menahannya. Pada jam 3.00 petang tadi, Najib dibawa ke mahkamah untuk mendengar pertuduhan baharu itu.
Shafee juga berkata beberapa pertuduhan ke atas Najib sebelum ini sudah dipinda tetapi tidak menjelaskan pindaan tersebut.
Buat masa sekarang, Najib berdepan tujuh pertuduhan berkaitan salah guna RM42 juta daripada SRC International.
Pada 4 Julai lalu, beliau didakwa dengan tiga pertuduhan pecah amanah (CBT) dan satu pertuduhan di bawah Akta SPRM. Kemudiannya, pada 8 Ogos lalu, beliau berdepan tiga pertuduhan lagi berkaitan kes sama.
Dengan pertuduhan terbaru itu, Najib kini berdepan 10 pertuduhan kerana salah guna RM89 juta daripada SRC International, menurut sumber SPRM.

Semua pertuduhan jenayah ke atasnya buat masa sekarang berjumlah 42, yang turut melibatkan pindaan laporan audit 1MDB, serta pecah amanah International Petroleum Investment Company.
Perbicaraan berkaitan dengan SRC International dijadualkan bermula pada 12 Februari walaupun peguam Najib sudah meminta penangguhan bicara dengan alasan mahkamah perlu menyelesaikan tiga perkara berkaitan dahulu.
Tiga perkara tersebut merujuk kepada rayuan jenayah berkaitan permohonan arahan sekatan kes Najib; rayuan jenayah berkaiatn permohonan Najib untuk mendapatkan dokumen dan kenyataan berkaitan kesnya; dan rayuan jenayah berkaitan pengeluaran surat pelantikan Ketua Pendakwa Raya Sulaiman Abdullah sebelum pendakwaan bermula.
Najib memohon perbicaraan ditangguhkan kepada satu tarikh ditetapkan kelak sementara menunggu mahkamah membuat keputusan mengenai ketigat-tiga perkara tersebut.
Shafee memberitahu The Malaysian Insight yang pasukan pembelaan mungkin memohon semula penangguhan kes disebabkan pertuduhan baharu itu.
Tindakan meminta penangguhan bicara dipersoalkan pihak pendakwa yang berkata pasukan peguam Najib sudah mempunyai tempoh sekurang-kurangnya tujuh bulan untuk menyiapkan kes pembelaan.
Tiga pertuduhan baharu itu dilakukan dibawah Seksyen 4(1)(b) Akta Penggubahan Wang Haram dan Pembiayaan Aktiviti Keganasan (AMLATFA) 2001.
Beliau dituduh menerima melalui tiga transaksi, wang hasil aktiviti haram berjumlah RM47 juta pada 8 Julai 2014 menerusi akaun banknya di AmIslamic Bank Bhd.
Tiga transaksi itu adalah dua kali transaksi RM10 juta setiap satu dan satu transaksi RM27 juta.
Jika sabit bersalah, Najib boleh didenda RM5 juta atau berdepan penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.
Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menetapkan 7 Februari ini untuk memutuskan sama ada pertuduhan tambahan hari ini akan dibicarakan serentak dengan pertuduhan sebelum ini.
Mahkamah Rayuan pada tarikh sama dijadual mendengar rayuan pasukan pembelaan Najib berhubung tiga permohonan menjelang perbicaraan pertuduhan melibatkan dana SRC International.
Pendakwaan hari ini diketuai Timbalan Pendakwa Raya Hanapiah Zakaria dan lima timbalan pendakwa raya lain. – 28 Januari, 2019.
Komen