Ayah Altantuya curiga integriti bekas konsul


Alfian Z.M. Tahir

Setev Shaarribbu, bapa kepada mangsa pembunuhan kejam Altantuya Shaariibuu ragu integriti bekas pegawai perhubungan keluarganya dan pihak berkuasa Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Januari, 2019.

AYAH mangsa bunuh warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu hari ini mempersoalkan integriti bekas konsul kehormat Mongolia ke Malaysia, Syed Abdul Rahman Alhabshi yang merupakan pegawai perhubungan antara keluarganya dan pihak berkuasa Malaysia selepas pembunuhan 12 tahun lalu.

Shaariibuu Setev memberitahu Mahkamah Tinggi Shah Alam pagi tadi yang tindakan dan kelakuan Syed Abdul Rahman menimbulkan keraguan sama ada beliau bertindak demi kepentingan keluarga Altantuya.

Katanya, pada 29 Ogos 2008, Syed Abdul Rahman menghantar email kepada Kementerian Luar Mongolia meminta penafian spekulasi yang Najib Razak terlibat dalam pembunuhan itu. Najib ketika itu adalah timbalan perdana menteri.

Shaariibuu berkata beliau mengetahui perkara itu kerana kandungan email tersebut diterjemah untuknya oleh seorang peguam Mongolia selepas kementerian memberikannya satu salinan.

Beliau memberikan keterangan tersebut dalam pendengaran kes saman RM100 juta difailkannya terhadap kerajaan Malaysia berkaitan kes bunuh anak perempuannya.

Shaariibuu menambah yang Syed Abdul Rahman juga menjemputnya ke rumahnya di Kuala Lumpur, ketika itu beliau ditunjukkan gambar konsul kehormat itu bersama Najib.

Beliau melawat rumah Syed Abdul Rahman selepas sekutu Najib, Razak Baginda dilepaskan daripada tuduhan bunuh anak perempuannya.

“Dia kata mereka (Syed Abdul Rahman dan Najib) adalah rakan rapat,” kata Shaariibuu hari ini.

Katanya, bekas konsul itu juga meminta daripadanya rekod tiket penerbangan, penyata bank dan beberapa keping gambar Altantuya.

“Saya fikir yang ia akan digunakan untuk perbicaraan. Saya tak pasti sama ada semua dokumen ini sudah dihantar kepada pihak berkuasa terlibat atau digunakan dalam perbicaraan itu,” tambahnya.

Shaariibu memberi keterangan tersebut ketika disoal peguamnya, Sangeet Kaur Deo.

Dalam saman difailkan pada 2007 itu, beliau menuntut ganti rugi dan tuntutan kebergantungan kerana kejutan mental dan psikologi yang berlaku kepadanya dan keluarga kerana pembunuhan Altantuya tahun sebelumnya.

Altantuya ditembak mati sebelum mayatnya diletupkan menggunakan bahan letupan gred tentera di sebuah hutan berhampiran Shah Alam, Selangor.

Ayahnya sebelum itu memberitahu mahkamah yang kekasih anaknya adalah “Razak” dan “orang besar” di Malaysia.

Razak yang merupakan penasihat Najib didakwa kerana bersubahat dengan komando polis Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar dalam pembunuhan Altantuya, 28, pada 2006.

Beliau bagaimanapun dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Oktober 2008 tanpa dipanggil membela diri, Azilah dan Sirul Azhar pula disabitkan bersalah membunuh Altantuya pada 2009.

Pada 23 Ogos 2013, Mahkamah Rayuan menerima permohonan Azilah dan Sirul dan membebaskan mereka.

Bagaimanapun, pada 13 Januari 2015, Mahkamah Persekutuan menerima rayuan pendakwaan dan menolak keputusan Mahkamah Rayuan. Sirul dan Azilah dikekalkan sabitan bersalah dan dijatuhi hukuman mati.

Sirul melarikan diri ke Australia sebelum penghakiman Mahkamah Persekutuan dan kini ditahan di Pusat Tahanan Imigresen Villawood, Azilah pula sedang dalam giliran menunggu hukuman mati di Penjara Kajang. – 28 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen